JAZZ BAND USM SUMBANG RM 15,000 UNTUK TABUNG PENDIDIKAN PALESTIN
PULAU PINANG, 7 Dis.2012 – Atas dasar keprihatinan dan peka dengan isu terkini yang melanda masyarakat di Palestin, kumpulan Jazz Band Universiti Sains Malaysia (USM) turut bersama-sama dengan warga Universiti yang lain menyumbang dana RM 15,000 untuk disalurkan ke Tabung Pendidikan Palestin yang dilancarkan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman di sini baru-baru ini.
Omar berkata, sumbangan tersebut menunjukkan keprihatinan untuk membantu rakyat Gaza dalam kalangan masyarakat kampus amat memberangsangkan, termasuk warga seni budaya.
Katanya, USM berbangga dengan kepekaan dan kesanggupan warga kampus menyumbang dana untuk meringankan penderitaan rakyat di Gaza, sekaligus merealisasikan misi universiti untuk memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.
``Kita akan terus meraih dana untuk tabung ini dan berharap lebih banyak pihak tampil untuk memberi sumbangan untuk kepentingan ilmu dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira batasan kaum atau pun warna kulit,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Dewan Budaya USM, Prof. Madya Mohamad Omar Bidin pula berkata, dana berjumlah RM15,000 yang disalurkan ke Tabung Pendidikan Palestin tersebut diperoleh melalui kutipan jualan tiket konsert Jazz Band yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, pihak Jazz Band tersentuh dengan bencana peperangan yang mengorbankan banyak nyawa khususnya kanak-kanak dan Wanita di Palestin, sekaligus bersetuju untuk membantu untuk menyumbang sesuatu buat meringankan bebanan mereka.
``Pelancaran Tabung Pendidikan Palestin adalah satu langkah prihatin yang ditunjukkan oleh warga kampus dan pasukan Jazz Band USM merasakan ia satu peluang terbaik untuk kami sama-sama menyumbang,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 2191