PENSYARAH USM WAKILI NEGARA KE PERTANDINGAN FAMELAB PERINGKAT ANTARABANGSA DI UK
PULAU PINANG, 5 Mei 2018 – Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir FameLab Malaysia 2018 peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini sempena persidangan Going Global Conference.
Dengan kemenangan itu, Siti Khayriyyah, 33, akan mewakili negara ke pertandingan Famelab peringkat antarabangsa sempena Cheltenham Science Festival di United Kingdom pada 7 Jun ini.
Siti Khayriyyah memukau panel hakim pertandingan dan lebih 200 orang audiens yang hadir dengan menjelaskan bagaimana penyakit Tuberculosis (TB) atau batuk kering boleh tersembunyi di dalam badan kita untuk bertahun-tahun, kemudian diaktifkan semula oleh virus dan boleh menyebabkan kematian pada mereka yang mengidapinya, serta bagaimana hendak mengatasinya.
Dia berjaya menewaskan 9 peserta finalis lain sekaligus menggondol hadiah utama berupa wang tunai RM3,000 dan trofi selain berpeluang melawat makmal penyelidikan di Eropah.
Di pertandingan akhir nanti, Siti Khayriyyah akan bertanding dengan pemenang-pemenang dari lebih 25 negara yang mengambil bahagian untuk merebut kejuaraan peringkat antarabangsa.
FameLab Malaysia 2018 adalah pertandingan menguji kemahiran peserta dalam menyampaikan konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam bentuk kreatif dan bahasa yang mudah difahami orang awam dalam tempoh masa tiga minit.
Dianjurkan bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan British Council Malaysia, ia terbuka kepada kesemua rakyat Malaysia termasuk saintis, jurutera, ahli teknologi, ahli matematik dan peminat/pengamal STEM berumur 21 tahun dan ke atas.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, selaku Pengerusi Bersama Kerajaan bagi MIGHT, Professor Tan Sri Zakri Abdul Hamid.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1397