PENERBIT USM RANGKUL EMPAT ANUGERAH TERBAIK DI ANUGERAH BUKU NEGARA
Kuala Lumpur, 30 April 2018 - Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini sekali lagi mencipta sejarah apabila merangkul empat anugerah terbaik di Anugerah Buku Negara yang berlangsung di sini hari ini.
Anugerah-anugerah tersebut adalah Editor Terbaik, Buku Umum Terbaik (Kategori Seni Bina), Buku Umum Terbaik (Kategori Sejarah) dan Buku Umum Terbaik (Kategori Sains Kesihatan).
Pegawai Penerbitan Kanan di Penerbit Universiti Sains Malaysia (Penerbit USM), Noor Sheela Suratman, 34 dianugerahkan Editor Terbaik bagi hasil kerjanya sebagai editor naskhah untuk buku-buku terbitan Penerbit USM.
Kemenangan ini adalah kemenangan berganda Noor Sheela apabila turut memenangi Anugerah Editor Naskhah Buku Terbaik (Bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial) di Anugerah MAPIM-KPT 2017 yang diadakan semalam.
Buku yang bertajuk Mengurus Keperluan Pesakit Strok di Rumah hasil tulisan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Noor Aini Hussain dan Profesor Dr. Mohamed Rusli Abdullah telah memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Sains Kesihatan).
Buku hasil tulisan pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Profesor Dr. Ahmad Sanusi Hassan pula memenangi Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Seni Bina) yang bertajuk Amalan Tebus Guna Tanah, Reka Bentuk Bandar dan Seni Bina di Malaysia.
Penerbit USM juga memenangi satu lagi anugerah iaitu, Anugerah Buku Umum Terbaik (Kategori Sejarah) oleh Profesor Dr. Jelani Harun bertajuk Ibarat Nyiur Gading: Raja Haji Yahya dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Abad ke-20.
Anugerah Buku Negara 2018 adalah anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama Serba Dinamik adalah bagi mengiktiraf dan mengangkat industri penerbitan ke peringkat antarabangsa.
Anugerah buku telah disampaikan oleh beberapa orang tokoh dalam industri penerbitan, tokoh akademik termasuk Tan Sri Dr. Ali Hamsa, KSN.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1798