USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM JUAL MOTOSIKAL UNTUK KE GAZA

Berlepas2

PULAU PINANG, 6 Dis. 2012 - Pelajar tahun ketiga di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Mohibbuddin B.Shahul Hamid, 22, sanggup menjual motosikal kesayangannya untuk membiayai sendiri perjalanannya ke Gaza.

Pengorbanan itu dibuat bagi membolehkannya menyertai kira-kira 120 orang sukarelawan dari seluruh negara yang menyertai Misi Solidariti Gaza 2012, jumlah terbersar setakat ini yang pergi melalui Aman Palestin.

“Saya sangat tersentuh dengan nasib mereka di sana dan ingin melihat dengan mata kepala saya tentang apa yang selama ini hanya saya dengar atau dapat lihat melalui media,” kata Muhammad Mohibbuddin.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Omar Osman yang menghubungi pelajar-pelajar USM yang menyertai misi tersebut mengucapkan selamat jalan dan mendoakan keselamatan mereka.

“Saya nasihatkan mereka agar berhati-hati dan mengucapkan tahniah atas kesanggupan dan keprtihatinan mereka serta berbangga dengan pengorbanan yang ditunjukkan,” kata Omar.

Turut bersama dalam misi tersebut ialah dua orang pelajar USM iaitu Abu Suffian Mansoor, 22, pelajar tahun kedua Komunikasi dan  Nazurah Mohd. Noh, 22, pelajar tahun kedua Kerja Sosial di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

Abu Suffian, seorang sukarelawan yang aktif dengan program-program kemanusiaan juga ingin melihat sendiri dan kemudiannya kemudiannya rakyat negara ini tentang bencana yang berlaku akibat keganasan Zionis Israel.

“Kita bertuah berada dalam Negara yang aman damai dan kita sewajarnya menghargai apa yang ada,” kata Abu Suffian.

Manakala Nazurah pula, sering terlibat dengan kerja-kerja amal terutamanya di Selatan Thailand berhasrat menulis sebuah buku tentang perjalannnya.

“Saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pelajar tentang apa yang saya saksikan terutamanya mereka yang dihimpit oleh keganasan dan penderitaan akibat peperangan terutamanya kanak-kanak dan kaum wanita,” kata Nazurah.

Mereka bertolak malam tadi ke Gaza dan dijangka tiba jam 5.00 petang hari ini.

Berlepas1

Misi ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat berkaitan dengan isu Palestin, mendapat dan mengumpul dana untuk menyalurkan bantuan dan menyatukan pelbagai pertubuhan sukarela untuk kerja amal kemanusiaan di sana.

Mereka dijangka balik ke Malaysia pada 13 Disember ini.

Pada 4 Disember  lalu USM menandatangani memorandum  persefahaman dengan The Islamic University of Gaza (IUG) yang iwakili Presidennya, Dr. Kamalain K. Shaa’ath untuk bekerjasama dalam merealisasikan usaha penubuhan Tabung Pendidikan Gaza.

Tabung yang telah mempunyai dana lebih RM100,000 itu adalah sumbangan siswa-siswi dan warga staf USM melalui potongan gaji yang dikumpulkan dalam masa tidak sampai satu minggu.Teks: MOHAMAD ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 4090

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024