USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGIMBAU KISAH WARISAN HAJI PULAU PINANG ERA KAPAL LAUT

PULAU PINANG, 24 April 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Sejarah Lisan, Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan usahasama Bahagian Malaysiana dan Arkib, Perpustakaan Hamzah Sendut USM; Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang; dan Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh menganjurkan program Pengkisahan dan Pameran Warisan Haji Pulau Pinang Era Pelayaran Kapal Laut selama tiga bulan bermula 14 April hingga 14 Julai 2018. 

Pameran yang dianjurkan ini mempamerkan pelbagai kisah suka duka jemaah haji dan para penduduk di sekitar pelabuhan serta para petugas kapal laut, ketika Pulau Pinang menjadi pusat tumpuan jemaah haji dari Tanah Melayu/Malaysia dan negara-negara lain khususnya Siam/Thailand untuk berlepas ke Tanah Suci Mekah dengan menggunakan perkhidmatan kapal laut, iaitu dari penghujung kurun ke-18 sehingga 1976.

Sejarah pengangkutan haji menggunakan kapal laut berakhir pada tahun 1977 apabila perkhidmatan kapal terbang mula digunakan untuk membawa jemaah haji ke Mekah.

Menurut pensyarah kanan PPIK, Profesor Datin Dr. Mahani Awang@Musa, sejarah lisan yang direkodkan bermula tahun lalu adalah sangat penting untuk kajian para pensyarah dan pelajar USM dan kajian-kajian ini masih dijalankan untuk rekod dan simpanan. 

Bersempena dengan perasmian pameran tersebut turut diadakan adalah forum yang dipengerusikan oleh Mahani dan membariskan panel-panel yang terlibat dalam pengkisahan tersebut termasuk Ahmad Shaari yang pernah bertugas sebagai Radio Officer dan menguruskan telegram daripada jemaah haji di sekitar tahun 1970-an. 

“Telegram yang dihantar ada dituliskan pelbagai pesanan kepada ahli keluarga masing-masing termasuk membawa lori ketika menjemput jemaah kerana mereka membawa pulang pelbagai jenis barangan termasuk bertong-tong air zam-zam,” tambah Ahmad. 

“Jika telegram yang dihantar ditujukan kepada ahli keluarga yang tinggal berdekatan, kami akan terus menghantarnya pada hari yang sama dan bagi yang jauh pihak kami akan mengepos kembali kepada ahli keluarga mereka,” ujar Ahmad lagi yang turut berkongsi kisah suka duka bersama panel yang lain iaitu Abdul Aziz Ismail yang bertugas sebagai Sheikh Haji dan Haji Ayob Saad. 

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pameran ini, boleh terus ke Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang di No.57 Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang bermula 14 April sehingga 14 Julai. Waktu operasi muzium adalah dari 9 pagi hingga 5 petang.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1353

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024