USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEIMBANGKAN KEJAYAAN AKADEMIK DAN KOKURIKULUM

PULAU PINANG, 20 April 2018 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diingatkan agar seiring dan seimbangkan kejayaan akademik bersama kokurikulum supaya mampu meningkatkan kualiti jati diri, disiplin dan semangat berpasukan seterusnya meningkatkan nilai tambah para graduan USM di masa hadapan.

Itu kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang mengharapkan mahasiswa USM mampu menjadi modal insan kelas pertama kepada anjakan paradigma membangunkan negara.

“Kesemua kursus dan aktiviti kokurikulum yang ditawarkan di USM seharusnya diambil peluang sebaiknya oleh mahasiswa, kerana kokurikulum bukan sahaja menjadikan mahasiswa sekadar bijak dalam ilmu pengetahuan malah memiliki sifat berani, kreatif, inovatif serta fleksibel,” katanya ketika merasmikan Hari Kokurikulum USM Semester Kedua, Sidang Akademik 2017/2018.

Tambahnya, atas sebab itulah USM amat menitikberatkan nilai HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) untuk diterap kepada mahasiswa bagi melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai minda kelas pertama.

Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman; Pemangku Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim; Pengarah Projek, Hari Kokurikulum USM, Nur Najjah Abd Manas dan pegawai-pegawai utama universiti.

Selain itu, Ahmad Farhan berharap dengan adanya pelbagai aktiviti kokurikulum yang disediakan oleh universiti, para mahasiswa tidak tertekan dengan pembelajaran di dalam kelas semata-mata, malah dengan pembabitan aktiviti tersebut mampu mengurangkan tekanan dan meningkatkan nilai sosial dalam kalangan mahasiswa.

“Kita mahukan graduan USM suatu masa nanti mampu berdiri sendiri menghadapi pelbagai cabaran bukan sahaja cabaran pekerjaan, tetapi juga cabaran negara terutamanya Revolusi Industri 4.0.”

Majlis turut diserikan dengan persembahan aerobik, demonstrasi pelajar dalam pelbagai seni mempertahankan diri dan pameran badan-badan beruniform di Foyer Dewan Tuanku Syed Putra.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1095

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024