TEKNOLOGI NANO TELAH WUJUD SEJAK BERJUTA TAHUN – PROF. MD. ROSLAN HASHIM
PULAU PINANG, 19 April 2018 – Teknologi nano sememangnya telah wujud sejak berjuta tahun dahulu walaupun manusia hanya baru sedari teknologi tersebut pada zaman ini.
Sebilangan saintis dan penyelidik di dunia baru sahaja menerokai teknologi ini dan ia mula menjadi tumpuan untuk diterokai lanjut bagi mengkaji kebesaran ilmu yang telah lama wujud di 200 billion galaksi alam semesta.
Menurut Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Md. Roslan Hashim, teknologi mengenai nano bahan memaparkan bahawa walaupun ia bermain dengan skala tersangat kecil, hakikatnya kebesaran terserlah dalam aspek ketinggian ilmu dan teknologi yang diperlukan untuk memahaminya.
“Walaupun skala nano dianggap kecil, tetapi khazanah alam nano memaparkan keluasan bidang dan ketinggian ilmu pengetahuan dan kecanggihan peralatan amat diperlukan bagi meneroka ilmu terbabit sesuai dengan kebijaksanaan manusia,” jelasnya.
Bercakap pada majlis meraikan beliau sebagai Profesor di Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Md. Roslan berkata teknologi nano harus diletakkan sebagai tunjang kepada kemuncak ilmu asas seperti Fizik, Matematik, Kimia, Biologi dan sebagainya kerana ia mampu menyedarkan manusia tentang kebesaran alam dan Tuhan terutamanya melalui teknologi yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar.
“Melalui teknologi nano, kita juga mampu kembali kepada fitrah dari hanya melihat keajaiban alam sebagai kehebatan semulajadi dan tidak nampak kewujudan Maha Pencipta di sebalik kejadian tersebut,” katanya lagi.
Beliau yang berpengalaman dalam bidang Fizik Gunaan dan Fizik Kejuruteraan termasuk Kajian Sains Nano dan Teknologi Nano lebih dari 30 tahun menambah, teknologi nano sememangnya amat penting buat semua ilmuan dan penyelidik agar mereka sentiasa di landasan mengingati kehebatan Maha Pencipta.
“Ilmu nano tidak hanya sekadar mengkaji perkara yang tidak kita mampu melihat, tetapi menyedarkan kita bahawa dalam kehebatan ilmu yang kita miliki, kita hanyalah hamba Allah SWT yang sentiasa mengharapkan kebaikan dari-Nya daripada apa yang kita lakukan bermanfaat buat manusia,” jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama, turut menyampaikan Syarahan Umum adalah Profesor Dr. Mohd Zubir Mat Jafri yang menyampaikan syarahan bertajuk “µp.my: Mikropemproses Kita” iaitu pemprosesan pusat yang terdapat di dalam komputer dan telefon pintar yang kita gunakan sepanjang masa.
Pada syarahan beliau, Mohd Zubir menerangkan beberapa perkara mengenai saiz mikropemproses yang semakin kecil sehingga kini ia boleh dimuatkan di dalam telefon pintar, termasuk kepantasannya sehingga boleh membuat panggilan video ke serata dunia, menyuntiknya ke dalam tubuh manusia dan kebarangkalian penyelidikan adakah kelajuan mikropemproses boleh dipantaskan lagi berbanding kelajuan cahaya.
Turut hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; Mantan Pendaftar USM, Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1507