PAMERAN BACK TO NATURE 3.0: KEKALKAN KELESTARIAN BUMI, KEPELBAGAIAN EKOSISTEM
USM, PULAU PINANG, 18 April 2018 – Persatuan Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) serta Perpustakaan Hamzah Sendut telah menganjurkan Program Back to Nature Exhibition 3.0 iaitu satu program yang memberi pendedahan secara menyeluruh tentang kepentingan alam sekitar merangkumi segenap aspek ekosistem.
Dekan PPSK, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah berkata, beliau percaya pembangunan lestari mengikut acuan mahasiswa minda kelas pertama adalah tidak tertumpu kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sahaja, tetapi ianya juga menyentuh sikap dan tanggungjawab dalam diri manusia itu sendiri.
“Sesuai dengan visi USM menyokong penuh pembangunan lestari, pelaksanaan Program Back to Nature Exhibition 3.0 ini dilihat menjadi satu usaha mahasiswa untuk terus merealisasikan misi tersebut sekaligus menjadi wadah yang menerap nilai-nilai kelestarian dalam diri masyarakat sekeliling.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi USM tentang kepelbagaian ekosistem serta flora dan fauna yang saling bergantung antara satu sama lain,” kata Amirul ketika merasmikan program tersebut baru-baru ini.
“Selain itu, pameran yang diadakan juga diharapkan dapat mengubah persepsi pelajar bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggunjawab semua dan bukan hanya mengharapkan pihak-pihak tertentu sahaja.
“Pelajar USM diharapkan dapat menjadikan program ini sebagai asas untuk mengekalkan kelestarian bumi dan bertindak sebagai “multiplier effect” kepada masyarakat luar,” tambahnya.”
Katanya lagi, kecemerlangan seorang pelajar tidak diukur dari segi pencapaian akademik sahaja tetapi mereka juga perlu mempunyai keperibadian tinggi kerana mereka adalah modal insan yang dibina oleh negara untuk menjadi tenaga kerja yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan bersemangat juang.
Menurut Pengarah Projek, Khairunisha Rosidi, program ini juga bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat serta para pelajar khususnya tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar.
“Di samping itu, program ini adalah bertujuan untuk menjadikan individu lebih mesra alam serta meningkatkan lagi ilmu pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih mendalam melalui program-program kesedaran dan ceramah oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan,” tambahnya lagi.
Program selama dua hari ini menggabungkan ceramah dari pelbagai badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA).
Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 994