USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PSU TINGKATKAN PENYELIDIKAN KOMUNITI LESTARI

usm psu 2012

PULAU PINANG, 3 Dis.2012 – Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan Prince of Songkla University, Thailand (PSU) (Kampus Pattani) dalam mentransformasikan penyelidikan yang bermatlamatkan kelestarian kepada komuniti.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, USM sentiasa bersedia memberikan komitmen tinggi khususnya dalam kolaborasi yang melibatkan pembangunan penyelidikan untuk komuniti.

Katanya, USM turut komited dalam menghubungkan penyelidikan yang menggabungkan kepentingan holistik di antara sains dan sastera kerana kedua-dua bidang tidak kurang penting dalam melengkapi satu sama lain.

``Dalam usaha kita untuk meningkatkan pencapaian ilmu merentasi sempadan globalisasi, kita perlu mengintegrasikan dan mewujudkan persekitaran yang bersistematik merentasi pelbagai disiplin ilmu dan institusi.

``Justeru, persidangan ini amat bertepatan dengan hasrat kedua-dua pihak dalam mencapai matlamat meneroka peluang percambahan idea, menstimulasi perbincangan interdisiplin dan membina jaringan hubungan yang mantap dalam kalangan akademia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan 2nd USM-PSU International Conference on Art & Sciences 2012 yang berlangsung selama dua hari di sini hari ini.

Tambah beliau, persidangan itu turut berperanan sebagai satu inisiatif untuk menarik penyertaan dan penglibatan aktif minda akademi muda, khususnya dalam menyumbang idea-idea baru yang unik dan mempunyai perspektif meluas.

Dalam pada itu, persidangan yang bertemakan ‘Transforming Research For Sustainable Community’ itu melibatkan pembentangan lebih 100 kertas kerja meliputi pelbagai disiplin ilmu termasuk Ekonomi, Pertanian, Pengurusan, Senibina, Seni Budaya dan sebagainya.

Turut dimuatkan dalam persidanga itu adalah pembentangan dua ucaptama bertajuk Building Peace: The Role of Higher Education Institutions oleh  Prof. Kamarulzaman Askandar dari USM dan PB Watch Weather Report System for Participatory Disaster Monitoring and Management oleh Dr. Somporn Chuao-Aree (Thailand). Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024