QUINTUS JUARA MALAYSIAN ‘BRAIN BEE CHALLENGE’ 2018
KOTA BHARU, KELANTAN, 29 Mac 2016 – Usaha serta minat yang mendalam dalam dunia neurosains nyata berbaloi buat Quintus U-Wei Baptist, 17, apabila dinobatkan sebagai Juara pertandingan ‘Malaysian Brain Bee Challenge’ (MBBC) 2018.
Dengan markah sebanyak 91 peratus, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Pulau Pinang yang merupakan pemegang ID BrainBee B001 itu berjaya menewaskan 38 pesaing dari kalangan para pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia.
Quintus yang begitu gembira dengan kemenangannya seakan tidak percaya beliau dinobatkan sebagai juara MBBC 2018 yang membolehkannya mewakili negara ke Pertandingan ‘International Brain Bee Championship (IBB) 2018 anjuran European Federation Of Neuroscience Societies (EFNS) yang bakal berlangsung di Berlin, Jerman, pada Julai nanti.
"Pertandingan ini merupakan penyertaan kali kedua saya dan saya seakan tidak percaya dengan kemenangan ini kerana para pesaing lain hebat-hebat semua dan datang dari sekolah yang ternama.
“Saya akan terus berusaha mengulangkaji dan membuat latihan bagi menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik semasa di Berlin nanti kerana amanah yang digalas adalah nama negara kita yang perlu dijunjung tinggi," katanya ketika ditemubual di Dewan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa, di sini.
Pelajar SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, Dhania Camelia, 17, dinobatkan sebagai Naib Juara dengan markah sebanyak 84 peratus manakala pelajar Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan, Idlan Hakeem Ismail, 17, mendapat tempat ketiga dengan markah 81 peratus.
Selain itu, Dhania Camelia turut menerima Anugerah Al-Biruni yang telah diperkenalkan bermula tahun 2014 sempena memperingati salah seorang Tokoh Ilmuan Islam yang juga seorang saintis, Abu Al-Rayhan Muhammad Ibn Ahmad Al-Biruni.
Dhania adalah peserta paling cemerlang dalam sesi pertandingan di peringkat zon dalam pelbagai aspek yang dinilai seperti ketepatan menjawab soalan dan kecerdasan minda yang dimiliki.
MBBC adalah Projek Perdana Libatsama ‘BrainBee@USM’, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan, Persatuan Neurosains Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), International Medical University (IMU), UCSI University, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Monash University Malaysia.
Pusingan akhir MBBC peringkat kebangsaan melibatkan 39 peserta teratas daripada 31 buah sekolah menengah seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang telah mendahului lebih 1,200 pelajar seluruh negara dalam pusingan saringan dan peringkat akhir zon masing-masing.
Berucap pada majlis MBBC 2018, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Rosline Hassan berkata, pihaknya berbangga kerana program menguji minda dalam bidang Neurosains ini kian mendapat perhatian ramai.
“MBBC adalah untuk menyemai kesedaran berkaitan bidang ilmu Neurosains dalam kalangan generasi muda bermula di peringkat sekolah menengah lagi,” ujarnya.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pensyarah Perubatan dan Perunding Kajisaraf Jabatan Neurosains, PPSP USM selaku Pengarah Projek MBBC, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha; Pengetua SMSTMFP, Hajjah Wan Jan Yaacob dan guru-guru pengiring sekolah yang terlibat.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood.
- Created on .
- Hits: 1636