AHMAD FARHAN BERAMAH MESRA DENGAN 200 BAKAL PELAJAR USM
PULAU PINANG, 27 Mac 2018 – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah beramah mesra dengan 200 bakal pelajar USM yang sedang melanjutkan pengajian dalam program Pra-U USM di Kolej MARA Kulim (KMK) kelmarin.
Ahmad Farhan yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, para pelajar perlu bijak serta mempunyai maklumat yang tepat sebelum membuat pilihan kursus untuk melanjutkan pelajaran.
“Walaupun saya tahu ramai yang ingin memilih program perubatan sama ada di Kampus Kesihatan atau di USM-KLE IMP, India, para pelajar juga perlu membuat satu atau dua pilihan bidang lain bagi membuka peluang untuk mendapat tawaran tempat pengajian,” kata Ahmad Farhan.
Tambahnya lagi, selain keputusan di semester satu dan dua, pihak pengurusan USM akan membuat pilihan berdasarkan prestasi setiap calon dalam temuduga yang akan dijalankan bagi kursus-kursus tertentu.
Sementara itu, Pengarah Kolej MARA Kulim Hj. Zolhamidy Che An berkata jalinan kerjasama antara USM dan KMK telah lama iaitu sejak penawaran Matrikulasi lagi dan kini kerjasama ini semakin kukuh dan kuat dengan program Pra-U ini.
Para pelajar yang hadir mengambil kesempatan untuk sesi soal jawab dengan pengurusan tertinggi USM dengan pelbagai pertanyaan mengenai kursus yang ditawarkan oleh USM.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik, Noriah Mohamed dan Penyelaras Program Pra-U USM, Profesor Dr. Fauziah Sulaiman.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1360