USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POSKAD USM UNTUK PALESTIN: 2 PELAJAR KE GAZA

Pulau Pinang, 30 November,  “Pergilah dan anggap anggap ini sebagai jihad untuk kedamaian dan kemanusiaan demi agama,” demikian pesan ibu kepada pelajar yang akan menyertai misi ke Gaza pada 5 Disember ini.

Abu Sufian Mansoor, 22, menyifatkan peluang ke Gaza adalah sesuatu yang dinantikan sekian lama dan kata-kata ibunya adalah satu semangat untuk meneruskan usaha ini.

Pelajar tahun kedua Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) itu bersama-sama Nazurah Mohd. Noh, 22, pelajar tahun kedua Kerja Sosial di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan telah dipilih untuk pertama kalinya mewakili universiti dalam satu misi kemanusiaan seumpama ini.

“Minat saya bercambah apabila seorang sahabat baik sejak berumur 14 tahun berjaya ke Gaza Ramadan lalu yang selama ini banyak berkongsi cerita tentang nasib malang anak-anak dan rakyat Palestin yang kehilangan keluarga, sahabat handar dan saudara akibat keganasan regim Yahudi yang tidak mengenal belas ehsan,” kata Abu Sufian.

Kata Sofian, “saya ingin merasai sendiri perasaan mereka dengan melihatnya dari dekat serta menghulurkan apa sahaja bantuan yang boleh dalam meringankan beban yang ditanggungnya apatah lagi dengan penderitaan akibat sekatan ekonomi dan serangan bertubi-tubi Israel.”

Anak pegawai Risda itu meninggalkan isteri yang bahu dikahwini tiga bulan lalu untuk menyertai misi ini dengan penuh rasa tanggungjawab kepada agama dan umat manusia seluruhnya.

Bagi Nazurah, pengalaman ini telah lama dinantikannya. Anak pesara tentera ini menyertai pertubuhan sukarela dan bergiat aktif membantu ibu tunggal dan anak-anak Yatim di Selatan Thailand sejak dua tahun lalu menganggap ini adalah cabaran besar yang ingin dimanfaatkan untuk membantu anak-anak yatim di sana.

“Yang penting saya ingin menulis tentang pengalaman ini untuk dirasaui oleh rakan-rakan mahasiswa di seluruh dunia tentang erti kemanusiaan, kehilangan dan kesengsaraan perang.

Bayangkan bagaimana anak-anak dan wanita yang menjadi mangsa kekejaman ini hidup selama ini dan anak-anak muda kita malah juga rakyat kita harus insaf dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang ada,” kata Nazurah.

Menyentuh tentang hal ini, Sofian berharap pemergiannya akan lebih memberikan keinsafan kepada diri sendiri tentang bertuahnya berada di bumi Malaysia ini.

“Kami fikir, kita perlu lebih hargai apa yang ada dan jangan perjudikannya dengan perpecahan sesame umat dan melakukan tindakan sehingga boleh mengancam dan merosakkan apa yang ada selama ini seperti mana yang dirasai oleh umat Palestin,” kata Sofian.

Di samping melihat dari dekat dan melakukan kerja sukarela, kedua-dua pelajar ini akan membawa bersama poskad dari USM untuk seluruh warga Palestin dengan menyatakan mesej kedamaian dan berkongsi perasaan dengan mereka di samping usaha-usaha lain yang dilakukan selama ini.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan (Hal-Ehwal Pelajar) Khairul Eruwan Abdul Halim yang baru pulang dari Gaza ketika sambutan Aidil Adha yang lalu menyifatkan pemilihan dua pelajar ini amat tepat pada masanya.

“Timbalan Naib Canselor, Profesor Adnan Hussein memilih dua pelajar dari 70 orang yang menghantar cadangan dan menyatakan hasrat untuk menyerrtai misi ini yang dibuat dalam masa yang singkat sebagai menyahut cabaran Naib Canselor untuk USM menghantar pelajar menyertai misi ini,” jelas Khairul Eruwan.

Katanya lagi, ini adalah peluang yang sangat berharga setelah USM berjaya mengadakan solat hajat dan memulakan Tabung Pendidikan Rakyat Palestin minggu lalu dengan menggembleng pelbagai persatuan dan pertubuhan yang ada di USM secara serentak di ketiga-tiga kampus.

“Saya sangat teruja dan insaf dengan segala apa yang ada kerana telah merasai sendiri kehidupan masyarakat Palestin dalam penjara terbesar dunia itu yang dikelilingi tembok batu dan jeriji dalam segala kekurangan sehingga memaksa mereka menggali lebih 700 terowong untuk meneruskan kehidupan,” kata Khairul Eruwan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar) Profesor Adnan Hussein menyifatkan kejayaan ini adalah hasil gabungan tenaga semua pihak, warga pelajar dan warga staf sehingga berjaya melakukan kutipan lebih RM100,000 dalam masa tidak sampai dua minggu.

“Ini menunjukkan kekuatan kita semua yang bersatu dan mampu memberikan impak luar biasa, yang belum lagi mengambil kira potongan gaji staf secara berterusan untuk penubuhan tabung amanah ini,” kata Adnan.

Katanya lagi, buat masa ini hasil dari kutipan ini akan digunakan terlebih dahulu untuk membantu kira-kira 70 orang pelajar Palestin yang ada di sini sebelum disalurkan untuk tujuan pendidikan anak-anak Palestin seluruhnya pada masa hadapan.

“Yang penting kita terus melalukan penyelarasan bersama semua pihak untuk meneruskan misi ini dengan  menggembleng segenap kekuatan yang ada demi perjuangan umat Palestin dan kemanusiaan sejagat ini,” kata Adnan. TEKS: Mohamad bin Abdullah  FOTO: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2952

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024