‘COFFEE HOUR DAY’ KETENGAH BUDAYA NEGARA LUAR KEPADA WARGA USM
USM, PULAU PINANG, 22 Mac 2018 – Kepelbagaian budaya negara-negara yang mempunyai pelajarnya menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dapat dilihat melalui pameran budaya yang diadakan sempena penganjuran ‘Coffee Hour Day’ yang berlangsung di sini, hari ini.
Pelajar-pelajar antarabangsa dari 10 buah negara, iaitu Indonesia, Brunei, Republik Czech, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Jepun, Brunei, Belgium dan Perancis telah mengambil bahagian dengan mempamerkan budaya dan adat resam negara masing-masing dalam ruang pameran khas yang disediakan.
Selain itu, pelbagai aktiviti disajikan untuk memberi pendedahan lebih mendalam dari aspek makanan, permainan tradisional, cara berpakaian serta budaya negara-negara yang terlibat.
‘Coffee Hour Day’ anjuran Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM ini bertujuan memperkenalkan dan mendedahkan para pelajar dengan kebudayaan di seantero dunia selain mempromosikan kefahaman antara berlainan bangsa.
Pengarah IMCC USM, Dr. Muhizam Mustafa berkata, program ini dianjurkan sebagai satu medium kepada pelajar antarabangsa yang berada di USM mengetengahkan budaya dari negara mereka kepada warga kampus.
“Selain itu juga, program ini dapat mendidik dan menanam nilai-nilai kesukarelawanan dalam kalangan pelajar di samping mempromosikan pelajar mengambil kursus-kursus bahasa yang ditawarkan di USM.
“Program selama sehari ini diharap juga dapat mengimarahkan interaksi pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa,” tambahnya lagi.
Mengikut statistik terkini, terdapat hampir 2,200 pelajar antarabangsa dari 73 buah negara sedang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama, pascasiswazah dan program pertukaran pelajar di kesemua kampus USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1563