DESASISWA TEKUN JUARA DEBAT PIALA NAIB CANSELOR 2018
PULAU PINANG, 18 Mac 2018 - Desasiswa Tekun menepati ramalan apabila muncul juara Debat Piala Naib Canselor 2018 pada pusingan akhir yang diadakan di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Kepetahan tiga anak muda, Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi, Jerry Yaacob dan Alzeilina Sharif mewakili kerajaan mengetengahkan hujah dan fakta bagi usul ‘Revolusi Industri 4.0: Malaysia Sudah Bersedia’ menggamit tepukan penonton seterusnya menarik perhatian juri bagi menobatkan mereka sebagai juara kali ini.
Dengan kemenangan ini, mereka membawa pulang Piala Pusingan, wang bernilai RM1,000 dan sijil.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Desasiswa Murni Nurani A yang diwakili Lingheswaran A/L Muniandy, Amirul Aizat Mohd Marhanan dan Ruba Shree A/P Ruba Sundaram yang membawa pulang wang bernilai RM750 dan sijil.
Kenangan manis juga buat Ruba Shree apabila dianugerahkan Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dengan membawa pulang RM250 dan sijil.
Menurut Muhammad Syahdad, beliau tidak menyangka bahawa kemenangan kali ini berpihak kepada pasukannya kerana pihak lawan bersaing dengan begitu cemerlang melalui huraian bukti dan fakta yang amat baik.
"Kami amat bersyukur kerana tiga tahun bertanding sebelum ini, hanya berjaya di tempat kedua dan tahun ini kemenangan berpihak kepada kami," katanya ketika ditemubual selepas majlis penyampaian hadiah.
Tambahnya lagi, persiapan rapi telah dilakukan dua minggu sebelum bertanding bagi berada di tahap terbaik.
"Kami berkorban masa, tenaga dengan mengulangkaji usul-usul yang diberikan termasuk mencari bahan, fakta yang tepat dan ada masanya sehingga tidak tidur semalaman bagi memantapkan aspek tersebut," katanya lagi.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ombudsman USM, Prof. Dato' Seri Md Salleh Yaapar yang turut mewakili Naib Canselor merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Selain itu, pada ucapan perasmian, Md Salleh Yaapar berharap segala kemahiran yang dimiliki para pendebat dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pembentukan generasi yang berwawasan, cemerlang, gemilang dan terbilang di masa hadapan.
"Program sebegini amat perlu menyediakan wadah kepada generasi muda untuk berbincang dan berbahas mengenai isu-isu semasa agar mahasiswa sedar peranan mereka dalam memikul amanah memimpin negara di masa hadapan secara intelektual," katanya lagi.
Selain itu, beliau turut yakin debat mampu menyemai semangat dan budaya membaca dalam kalangan pelajar agar lebih berpengetahuan dan cakna terhadap isu-isu kontemporari.
Sejumlah 12 pasukan dari 11 Desasiswa ketiga-tiga kampus bertanding di bawah anjuran Majlis Penggawa Desasiswa USM bagi merebut kejuaraan yang diadakan selama tiga hari bermula 16-18 Mac 2018.
Yang turut hadir adalah Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana Debat Piala Naib Canselor, Dr. Husaini Yaacob; Pengarah Pembangunan Pelajar USM, Dr. Nazarudin Zainun; Penggawa Desasiswa Bakti Permai Cahaya Gemilang, Shafiee Ariffin dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1206