CAREER FAIR 2018 PENGGERAK TRANSFORMASI MAHASISWA USM
PULAU PINANG, 16 Mac 2018 – Penganjuran ‘Career Fair 2018@USM Engineering Campus’ yang mengumpulkan syarikat-syarikat industri tempatan dan luar negara dilihat sebagai platform yang kukuh bagi menggerakkan transformasi buat mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) mempersiapkan diri menempuh cabaran industri masa kini.
Saban tahun diadakan, Career Fair memberi impak positif terutamanya membantu bakal graduan USM peringkat prasiswazah dan siswazah secara komprehensif menonjolkan bakat serta nilai yang relevan buat rencah industri sekarang.
Itulah kata Pengarah Projek ‘Career Fair 2018@USM Engineering Campus’, Lee Choon Wei yang mengharapkan program ini akan terus diadakan setiap tahun bagi tujuan tersebut.
Katanya, beliau amat menghargai syarikat-syarikat industri di luar yang sentiasa bekerjasama dengan USM terutamanya Kampus Kejuruteraan dalam membawa hasrat industri untuk diterjemahkan kepada para mahasiswa agar mahasiswa bersedia berhadapan arus cabaran alam pekerjaan kelak.
“Selaku Pengarah Projek buat tahun ini, saya amat berbangga kerana tahun ini 68 buah syarikat industri tempatan dan antarabangsa sudi menyertai pameran ini termasuk menaja sepanjang program ini berlangsung,” katanya ketika ditemubual selepas majlis perasmian oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Tambahnya, dengan kehadiran 1,500 pengunjung hadir memenuhi dewan pada hari pertama acara cukup membuktikan bahawa program ini amat signifikan dan mampu memberi impak yang besar khususnya kepada para pelajar.
Lee Choon Wei, 22, anak kelahiran Ipoh yang kini sedang mengikuti pengajian dalam kursus Kejuruteraan Awam di tahun 3 ini amat optimis dalam merencanakan program besar seperti ini pada peringkat universiti.
“Secara peribadi saya amat berpuas hati dengan pembangunan Career Fair 2018 ini dan amat berterima kasih dengan kerjasama semua ahli sekretariat terlibat, para pegawai USM dan seterusnya sokongan dari pengurusan tertinggi universiti.
“Kejayaan ini membolehkan saya dan pasukan memperolehi pengalaman yang cukup berharga dan indah serta berfaedah. Saya juga berharap program kerjaya Kampus Kejuruteraan USM dapat terus menyediakan platform yang memberi kesan kepada pelajar, pelawat serta pemain industri di utara Semenanjung.”
Tambahnya lagi, sebagai salah seorang mahasiswa USM yang mengikuti kursus bidang Kejuruteraan, beliau turut berbangga dengan kejayaan universiti yang diumumkan baru-baru ini meraih kedudukan 50 dan 100 teratas di antara semua universiti dunia untuk kursus-kursus Kejuruteraan (QS World University Rankings by Subject 2018).
“Ini menunjukkan penganjuran pameran sebegini merupakan antara usaha dilakukan sehingga berjaya meraih kejayaan besar ini. Apatah lagi kami cukup berbangga dengan barisan Pensyarah USM yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penyelidikan serta hubungan industri.”
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua syarikat yang mengambil bahagian dan penaja-penaja utama seperti SanDisk Storage Malaysia (Western Digital), HP Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd., Sony EMCS (M) Sdn. Bhd., dan Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.,” katanya.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1385