USM IPT PERTAMA SERTAI NATIONAL INSTRUMENTS AUTONOMOUS ROBOTICS COMPETITION MALAYSIA
NIBONG TEBAL, Mac 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sains@USM menjadi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sulung yang dipilih oleh National Instruments (NI) dalam menjalankan kerjasama serta penyertaan dalam National Instruments Autonomous Robotics Competition (NI ARC) yang akan diadakan di Malaysia.
Menurut Pengurus Bahagian Sumber Manusia NI, Zul Ibrahim, pertandingan ini akan disertai oleh para peserta antarabangsa iaitu dari Australia, New Zealand dan Singapura.
“National Instruments Autonomous Robotics Competition diadakan untuk memberi peluang kepada jurutera-jurutera tempatan untuk menyahut cabaran ke arah menjadi jurutera yang terbilang di dunia,” tambahnya di majlis ‘KICK-OFF’ NI ARC di sini baru-baru ini.
“Malah, melalui program ini, NI turut membuka peluang kepada jurutera-jurutera ini untuk menyumbang kembali kepakaran mereka kepada masyarakat melalui teknologi yang diguna pakai dalam ciptaan masing-masing sepanjang pertandingan ini berlangsung,” kata Zul.
Sejak tahun 2011, NI ARC merupakan satu pertandingan yang berlandaskan kepada objektif untuk memacu pelajar ke arah aplikasi perkakasan dan perisian terkemuka industri serta kaedah-kaedah dalam pembuatan reka bentuk kenderaan pintar yang boleh mematuhi peraturan jalan raya.
Bertemakan "Fast Track to the Future", NI ARC memerlukan robot setiap pasukan yang bertanding untuk menyelesaikan tugas-tugas seperti pergi ke drop off point, memunggah kiub, berkomunikasi secara tanpa wayar dan mengelak halangan semasa untuk mengoptimumkan prestasi serta kecekapan dalam memperolehi markah.
Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Dr. Dahaman Ishak yang mewakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed selaku Pengerusi Projek berkata, program seperti ini diharap dapat mendedahkan para pelajar kepada kepakaran dan pengalaman yang diguna pakai dalam bidang perindustrian secara praktikal.
“Kami turut berbesar hati dapat menggalakkan para pelajar meneroka dunia pekerjaan yang sebenar melalui pertandingan di bawah seliaan syarikat antarabangsa seperti NI ini.
“Semoga penyertaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada para pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam mengangkat nama USM ke peringkat yang lebih tinggi di dalam mahupun di luar negara kelak,” tambah Dahaman.
Para peserta NI ARC akan diberikan latihan oleh jurulatih dari NI selain satu unit perkakasan myRIO 1900 kepada setiap pasukan semasa program. Para peserta turut menerima RM1,500 bagi membolehkan mereka membina robot, trek, dan lain-lain.
Pasukan yang berjaya akan berpeluang untuk menyertai pertandingan akhir yang bakal diadakan pada bulan September 2018 di Australia.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1197