USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KPTN 2018 ZON KELANTAN DAPAT MAKLUM BALAS POSITIF PENGUNJUNG

USM KUBANG KERIAN, 11 Mac 2018 – Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 Zon Kelantan yang bermula semalam mendapat sambutan baik sehingga ke hari ini apabila pengunjung yang hadir tidak putus-putus memenuhi ruang pameran di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Rata-rata pengunjung menyuarakan maklum balas positif berhubung penganjuran KPTN yang banyak memberi info dan maklumat mengenai program pengajian sedia ada dan baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta agensi-agensi awam yang lain.

Menurut seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Kelantan, Masitah Abu Bakar, 19, tujuan beliau hadir ke karnival ini adalah untuk mendapatkan informasi dengan lebih lanjut berkaitan universiti-universiti di Malaysia selain mendapat maklumat berhubung bidang pengajian yang bakal dipilih nanti.

“KPTN banyak membantu dalam memberi pemahaman kepada saya tentang program-program pengajian yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di negara kita.

“Saya sangat berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan oleh wakil setiap universiti dan ia memberi gambaran yang jelas untuk saya membuat pilihan bagi mengikuti pengajian di peringkat yang lebih tinggi nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang ditemui, Tou Zhu Chi, 19, berkata, dengan adanya KPTN ini, pelajar-pelajar boleh datang dan merujuk pihak yang betul berkaitan pembelajaran serta syarat-syarat kemasukan ke universiti.

“Saya berharap agar karnival seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ia sangat membantu kami para pelajar dalam membuat pilihan kursus yang bersesuaian bukan sahaja berdasarkan minat tetapi yang lebih penting mengikut kelayakan,” jelasnya.

KPTN 2018 Zon Kelantan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam sama ada pelajar mahu pun ibu bapa. Ini membuktikan KPT sentiasa cakna akan keperluan masyarakat yang mementingkan pendidikan tidak kira akademik mahupun kemahiran.

Teks & Foto: Nur Syazwani Darzi (Pelajar Praktikal UIAM)/Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 771

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024