USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEKTOR AWAM DIHARAP BERALIH DARI IPv4 KE IPv6 SEPENUHNYA MENJELANG AKHIR 2013

usmum

KUALA LUMPUR, 28 November -- Menjelang akhir 2013, kesemua sektor awam di Malaysia diharapkan telah beralih dari menggunakan sistem alamat Protokol Internet Versi 4 (IPv4) kepada sistem alamat Protokol Internet Versi 6 (IPv6) sepenuhnya dalam sistem komunikasi internetnya.

Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dato’ Jailani Johari, peralihan IPv4 kepada IPv6 sangat penting memandangkan bilangan pengguna internet di Malaysia semakin bertambah seperti yang dapat dilihat dari kadar penembusan jalur lebar yang kian meningkat saban hari.  

"Ini juga bererti jumlah pelanggan dan laman web di seluruh dunia termasuk Malaysia dijangka meningkat dan dikhuatiri IPv4 yang hanya mampu menampung kira-kira 4.3 bilion alamat IP ketika ini tidak dapat menampung pertambahan jumlah pelanggan dan laman web yang begitu pesat pada masa yang akan datang.

“Maka diharapkan IPv6 iaitu Protokol Internet baharu yang direka dan digunapakai secara global sebagai platform IP baharu dapat menyelesaikan masalah IPv4 terutamanya kekurangan alamat IP,” kata Johari kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sekuriti IPv6 2012 peringkat kebangsaan hari ini di Auditorium IPPP, Universiti Malaya.

Seminar tersebut yang dianjurkan bersama oleh Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Malaysia Research and Education Network (MYREN) merupakan satu platform yang baik untuk membincangkan isu-isu sekuriti utama yang menghalang pelaksanaan pesat IPv6 di samping mencari penyelesaian alternatif untuk menangani isu sekuriti ini.

Sementara itu, Pengarah NAv6 USM, Profesor Dr. Sureswaran Ramadass berkata kerajaan Malaysia memang menyokong penuh penggunaan IPv6 seperti yang dapat dilihat dari persiapan awal bagi proses pemindahan ini telah bermula sejak 2004 di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan IPv6 Nasional yang dipengerusikan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Memandangkan IPv6 ini lebih selamat dan mempunyai kapasiti yang jauh lebih luas dan tidak mudah sarat berbanding IPv4, lebih banyak negara membangun kini beralih kepada penggunaan IPv6.  

“Saya bangga kerana menerusi penglibatan NAv6 dalam program Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia kini banyak membantu negara-negara membangun yang lain untuk bertukar kepada IPv6 secara berperingkat-peringkat,” tambah Sureswaran lagi.

Dalam seminar yang sama, turut diadakan dua majlis penandatanganan perjanjian kerjasama iaitu di antara USM dan HP Malaysia yang melibatkan kerjasama dalam penawaran kursus bertauliah dan latihan IPv6 kepada pelanggan HP, manakala yang satu lagi di antara USM dan IPv6 Global Sdn. Bhd. meliputi penyediaan perkhidmatan dan konsultansi berkaitan dengan IPv6.  

Seminar tersebut berakhir dengan sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Profesor Dr. Sureswaran Ramadass dan ahli-ahli panel dari sektor industri dan swasta yang terlibat secara langsung dengan keselamatan rangkaian dan pembangunan teknologi dan infrastruktur IPv6. – TEKS: Tan Ewe Hoe / FOTO: Nor Rafizah Md. Zain

 

  • Created on .
  • Hits: 2548

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024