USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM RAIH TEMPAT PERTAMA ANUGERAH MYGOSS 2012

usmippt

SHAH ALAM, 26 Nov. 2012 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (IPPT USM) telah berjaya meraih tempat pertama dalam anugerah peringkat kebangsaan iaitu Anugerah Malaysian Government Open Source Software (MyGOSS) 2012 di Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis Penganugerahan  tersebut  adalah anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, dan ia diadakan bersempena persidangan Malaysian Government Open Source Software Conference (MyGOSSCON) 2012 bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC.

Anugerah MyGOSS 2012 ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan menghargai organisasi yang menunjukkan inisiatif dan kecemerlangan dalam setiap aspek pelaksanaan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi berasaskan perisian sumber terbuka (OSS).

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MAMPU, Dato' Mohamad Zabidi Zainal.

IPPT USM diwakili oleh Seksyen Bio-ICT yang terdiri daripada Adnan bin Hamid (Pengurus Bio-ICT), Salmiza binti Zakaria (Pegawai Teknologi Maklumat) dan 4 orang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat iaitu Rozaini bin Rais, Ahmad Rafiq bin Nordin, Sheikh Mohd Amar Hestzuan bin Sheikh Mohd Saaid dan Mohd. Ridzuan bin Harun telah berjaya terpilih melalui penyertaan projek i-Care2x (Total Hospital Information System).

Menurut Adnan, i-Care2x adalah aplikasi berasaskan web yang menyokong perkhidmatan-perkhidmatan di hospital IPPT dengan ciri-ciri yang memudahkan pengguna-pengguna sistem mengikut fungsi masing-masing.

Katanya, sistem ini merangkumi semua aktiviti dan urusan di hospital IPPT di Kompleks Penyelidikan Klinikal bermula daripada pendaftaran maklumat pesakit, kemasukan maklumat penyakit yang dihidapi dan rawatan, pengeluaran deskripsi maklumat ubat-ubatan di bahagian farmasi sehingga ke proses pembayaran.

``Antara teknologi-teknologi yang digunakan dalam pembangunan i-Care2x ini adalah Linux Ubuntu Server Edition sebagai sistem pengoperasian bagi pelayan, MySQL sebagai pangkalan data, Apache Web Server sebagai pelayan web, bahasa pengaturcaraan web PHP dan CSS.

`` Turut dimuatkan dalam i-Care2x adalah JavaScript, Ajax, JQuery dan Java Applet serta MirthConnect iaitu perisian sumber terbuka yang digunakan untuk integrasi antara i-Care2x dengan sistem yang lain (contohnya Radiology Information System dan Lab Information System) melalui protokol HL7,’’ ujar beliau.

Adnan turut berkata, pelaksanaan i-Care2x telah memberikan impak yang besar dalam kecekapan dan keberkesanan pengurusan hospital merangkumi semakan sejarah pesakit, pertindihan data pesakit, keselamatan data pesakit dan kebolehpercayaan terhadap capaian rekod setiap pesakit.

Katanya, semua ciri-ciri ini telah diambilkira semasa proses pembangunan bagi memastikan fungsi sebenar i-Care2x menepati keperluan dan ciri-ciri sebenar sistem maklumat hospital.

``Sistem i-Care2x amat sesuai untuk diperkenalkan di mana-mana hospital samada hospital kerajaan atau swasta di mana ianya boleh menjimatkan kos yang boleh mencecah puluhan juta ringgit melibatkan kos pembangunan, penyelenggaraan dan pelaksanaan.

``Penggunaan sepenuhnya Perisian Sumber Terbuka dan kebolehannya untuk diintegrasi dengan mana-mana sistem lain yang berkaitan dengan sistem maklumat hospital menjadikan i-Care2x satu sistem yang boleh dijadikan panduan untuk semua hospital di Malaysia,’’ jelas beliau.

Tambah Adnan, projek i-Care2x bergerak seiring dengan Program Transformasi Sektor Awam yang menetapkan piawaian perkhidmatan bertaraf kelas pertama berdasarkan petunjuk serta amalan terbaik bertaraf dunia sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan.

Tambahnya, i-Care2x boleh menjadi pemangkin dan peneraju kecemerlangan ke arah pemodenan Sektor Awam dalam bidang perubatan selain memberi pelbagai faedah kepada orang awam terutamanya dalam peningkatan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan di mana proses rawatan menjadi lebih cekap dan cepat.

Katanya, integrasi dan perkongsian maklumat antara modul-modul memudahkan proses rawatan kepada pesakit. i-Care2x menyumbang kepada pihak kerajaan dari segi penjimatan kos dalam pembangunan, penambahbaikan dan penyelenggaraan di mana kebergantungan kepada pembekal dapat dielakkan.

Sebelum ini, IPPT USM telah pernah juga memenangi anugerah peringkat kebangsaan iaitu Anugerah Kajian Kes Implementasi Perisian Sumber Terbuka Terbaik 2009 (Kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam) anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri melalui penyertaan projek Open Source Integrated Library System (Koha). – Teks: Adnan Hamid/Foto: Ahmad Rizwan Zulkharnain.

  • Created on .
  • Hits: 2762

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024