PUPUK MINAT SAINS SECARA PRAKTIKAL DALAM PENYELIDIKAN
USM, 26 Februari 2018 – Pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 namun kini kurang 50 peratus pelajar mengikuti pengajian dalam aliran STEM di negara ini. Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan minat para pelajar serta memberikan pendedahan awal serta membantu pelajar-pelajar menerokai dan memahami bidang STEM.
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Perkhidmatan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro) juga tidak ketinggalan dalam menganjurkan program untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan meningkatkan pendidikan STEM dan ianya dikenali sebagai Program Percutian Penyelidikan atauVacation Research Programme (VRP).
VRP ini ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk mempelopori kerjaya sebagai saintis. Para pelajar yang terlibat akan diberi peluang untuk menerokai, mempelajari serta melakukan aktiviti secara hands-on atau praktikal dalam mengendalikan penyelidikan.
“Objektif program ini adalah bagi menggalakkan lebih ramai pelajar pra-universiti memilih kerjaya dalam bidang penyelidikan sains khasnya sains neuro serta mempelajari teknik-teknik penggunaan alatan makmal,” kata pelopor VRP yang juga Pengarah (P3Neuro) USM Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah.
“Para pelajar yang dipilih akan melalui beberapa proses yang telah ditetapkan sejak tahun 2012 dan diakhiri dengan sesi temuduga oleh wakil-wakil pusat pengajian yang terlibat.
“Para pelajar yang terpilih menyertai program ini akan dibiayai oleh pihak P3Neuro untuk pembayaran yuran bagi mendapat pendedahan dalam bidang-bidang sains termasuk Neurobiologi, Artificial Intelligence, Electrofisiologi, software, web hosting dan lain-lain,” tambah Jafri Malin.
Sejak dianjurkan, seramai 13 orang pelajar telah dipilih untuk mendapat manfaat daripada program tersebut dan berjaya melanjutkan pengajian bukan sahaja dalam pengajian bidang sains dan perubatan di dalam negara malah di universiti luar negara termasuk Durham University, United Kingdom.
Antara jabatan yang terlibat untuk menyelia para pelajar ini adalah P3Neuro, Pusat Penyelidikan Dadah & Ubat-ubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pusat Pengajian Sains Komputer.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1582