USM PERTAMA TAWARKAN PROGRAM MICROCREDENTIAL
USM, PULAU PINANG, 26 Februari 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi perintis dalam memperkenalkan program pembelajaran ‘Microcredential for Personal & Professional Development’, satu kaedah memperkasa kepakaran yang akan memberi manfaat kepada golongan berkerjaya.
Berkonsepkan earn & learn, sistem pembelajaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat ini memberi penyelesaian kepada faktor kekangan masa untuk para profesional dalam apa jua bidang meningkatkan tahap kompetensi dan kepakaran mereka.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, program microcredential adalah satu kaedah pembangunan profesional ke arah membentuk kepakaran dalam bidang yang khusus dan tertumpu yang boleh diakses oleh individu berkerjaya walau di mana mereka berada.
“Mana-mana individu yang berminat boleh mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan mengikut masa dan keperluan masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka akan dibimbing oleh pembimbing yang berdedikasi dan komited.
“Dengan adanya microcredential, USM merintis laluan baru dalam menawarkan pendidikan berterusan merentasi sempadan fizikal kampus. Kita harus menerima hakikat bahawa pembelajaran atas talian adalah norma baru dan model microcredential mampu mengubah senario pandidikan dalam era digital yang mencabar ini,” ujarnya.
Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik Dan Pembangunan Pelajar (CDAE) USM, Profesor Dr. Abd Karim Alias berkata, sistem ini dibangunkan dengan kerjasama OpenLearning, sebuah agensi yang sangat komited menyediakan pendidikan fleksibel dalam suasana menyeronokkan.
Jelas Karim, program microcredential USM ini dibangunkan dengan beberapa keistimewaan tertentu termasuk kandungan sistem yang ringkas, bersifat persendirian, sistem dibangunkan mengikut permintaaan serta berasaskan kemahiran malah mempunyai lencana pengiktirafan digital dan mampu milik.
“Antara manfaat sistem microcredential ini termasuklah modul bersesuaian yang direkabentuk khusus bagi ilmu/kemahiran tertentu, hasil kecekapan yang terbukti, pengalaman pelajar OpenLearning, lebih nilai bagi wang dan sokongan berterusan fasilitator,” katanya lagi.
Tambah beliau, setiap kursus yang ditawarkan boleh diikuti oleh peserta dalam tempoh dari 30 minit hingga 2 jam mengikut modul yang disediakan dan apabila selesai sesuatu modul itu, peserta akan diberikan lencana pengiktirafan digital.
“Peserta kemudiannya akan memperoleh sijil pengiktirafan digital setelah selesai mengikuti kesemua modul dan melengkapkan tugasan yang ditetapkan untuk satu-satu program,” ujar beliau.
Sistem ini buat pertama kali diperkenalkan sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2018 dan dirasmikan oleh Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, di sini baru-baru ini.
Turut sama sempena perasmian ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas OpenLearning Global (M) Sdn. Bhd., Adam Brimo dan pegawai-pegawai utama Universiti.
- Created on .
- Hits: 2380