USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

13 PELAJAR JEPUN TIMBA PENGALAMAN BERHARGA SERTAI PROGRAM STUDY MALAYSIA

DSC 6105 800x600

PULAU PINANG, 22 Februari 2018 - 13 pelajar dari Nihon Fukushi University (NFU) Jepun termasuk dua orang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami Spinal Muscular Atrophy (SMA) dan Cerebral Palsy (CP) mengikuti Program Study Malaysia (SMP) selama dua minggu di Universiti Sains Malaysia (USM). 

Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) Aizat Hisham Ahmad, program yang bertemakan “Social Welfare and Culture” ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk siri kuliah dan lawatan sambil belajar ke beberapa organisasi kebajikan masyarakat, kebudayaan dan industri di dalam kampus USM dan kawasan sekitar negeri Pulau Pinang.

DSC 6093 800x600

“Program sebegini adalah inisiatif IMCC sejak 9 tahun lalu dan program pada tahun ini adalah dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM dengan bantuan pelajar-pelajar sukarelawan Student Buddies USM,” kata Aizat Hisham.  

“Kehadiran mereka bersama dua orang pelajar OKU adalah dalam agenda pengantarabangsaan untuk memberikan peluang yang saksama (equal opportunity) kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira status, sosio-ekonomi, latar belakang dan budaya,” tambahnya.

“Program kerja lapangan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang pentingnya Bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar Jepun serta untuk berkomunikasi dengan baik,” kata Gary Kirkpatrick, guru Bahasa Inggeris di NFU yang telah menetap di Jepun selama 24 tahun.  

DSC 6088 800x600

“Para pelajar yang mengikuti program ini adalah pelajar tahun satu bagi program International Welfare Development di NFU dan mereka ini adalah para pelajar yang berminat untuk bekerja dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk menjadi guru bahasa, ahli perniagaan serta bekerja dengan NGO dan JICA,” tambah Gary yang ditemui semasa mengikuti kelas mencanting batik di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM.

“Saya yakin kerja lapangan sebegini dapat memberikan kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan Bahasa Inggeris dalam kehidupan dan menganggap ianya bukan sahaja sebagai bahasa tetapi mempunyai kegunaan penting dalam berkomunikasi. 

Antara program yang dijalankan di sepanjang dua minggu adalah melawat St. Nicholas Home, Fort Cornwallis serta beberapa industri di Bayan Lepas serta kelas-kelas kebudayaan seperti mengenali wau bulan serta mencanting batik.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk tinggal sebumbung bersama keluarga angkat di Kota Aur, Penaga, serta mengenali dengan lebih mendalam tentang budaya dan cara hidup masyarakat Melayu di Pulau Pinang. 

DSC 6091 800x600

Menurut salah seorang peserta program, Yosuke Murayama, 18, yang juga pelajar OKU, program sebegini sangat menyeronokkan kerana memberi peluang kepadanya untuk lebih mengenali budaya masyarakat di sini.

“Sedikit cabaran yang perlu dihadapi adalah dari segi kemudahan di USM dan juga di Pulau Pinang yang sedikit berbeza dengan kemudahan dan prasarana OKU yang terdapat di Jepun,” tambah Yosuke yang dikelilingi rakan-rakan dari NFU dan USM yang banyak membantunya selama dua minggu di sini dari 11-25 Februari.

Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Pavi

  • Created on .
  • Hits: 1170

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024