CACAT PENGLIHATAN BUKAN HALANGAN ANAK NELAYAN GENGGAM IJAZAH
PULAU PINANG, 26 April 2015 - Cacat penglihatan bukan halangan buat Mohd. Aziz Bin Abidin, 25, anak kepada seorang nelayan di Sarawak untuk beroleh kejayaan dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.59 di Universiti Sains Malaysia (USM).
Mohd. Aziz berkata, sepanjang pengajiannya di USM, rakan-rakan kelas dan para pensyarah sangat membantu selain prasarana buat Orang Kelainan Upaya (OKU) universiti yang membolehkannya melaksanakan aktiviti kuliah dengan mudah.
"Di USM, saya belajar dengan menggunakan kaedah braille selain bantuan rakan-rakan yang banyak membantu untuk menceritakan kembali novel-novel dan cerpen-cerpen yang telah dibaca dan sesukar mana sekali pun untuk mendapatkan sesuatu maklumat, saya akan terus berusaha kerana percaya hanya dengan usaha keras dalam melaksanakan sesuatu akan menghasilkan kejayaan," kata Mohd. Aziz.
Dia sangat berterima kasih kepada universiti kerana selama tiga tahun setengah belajar di sini, kemudahan buat pelajar OKU sangat dititikberatkan di samping dorongan para pensyarah dan rakan-rakan sekuliah yang sangat membantu.
Siswazah Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM ini adalah anak ketiga daripada lima orang adik beradik.
"Saya sangat teruja dapat menjadi salah seorang pelajar USM selepas seorang rakan senasib dengannya menceritakan USM menyediakan kemudahan untuk OKU selain ingin belajar di universiti berstatus APEX ini," katanya dalam sidang media selepas menerima ijazah dari Pro Canselor USM Tan Sri Dr. M. Jegathesan pagi ini.
Selepas menamatkan pengajian ini Mohd. Aziz ingin mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu keluarga.
Bapa Mohd. Aziz, Abidin Bin Jolini, 55, menzahirkan rasa bangganya apabila anaknya itu dapat menghabiskan kuliah dengan memperoleh PNGK yang baik pada masa yang ditetapkan selain berharap Mohd. Aziz akan terus memperoleh kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, USM telah menghasilkan 22,715 orang siswazah ijazah tinggi dan 122,318 orang siswazah ijazah pertama. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1870