KOMUNIKASI YANG BERKESAN MEMERLUKAN LEBIH DARI EMPATI
USM, PULAU PINANG, 6 Februari 2018 – Untuk memastikan sesuatu proses komunikasi yang berlaku mendapat kesan yang sewajarnya memerlukan lebih dari sekadar mempunyai empati iaitu dengan merasai apa yang dilalui oleh orang lain.
"Ini hanya kesedaran awal dalam memahami perasaan orang lain, tetapi yang paling penting dalam kemahiran sosial atau 'social intelligence' ialah dengan melakukan sesuatu dan mempengaruhinya untuk mencapai apa yang ingin dicapainya," kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.
Tegasnya untuk berkomunikasi dengan berkesan seseorang itu perlu bertindak melangkaui empati dengan membantu dan membuatkan seseorang itu bertindak dengan sewajarnya.
"Keberkesanan komunikasi bergantung juga kepada niat, seperti ingin menjatuhkan orang lain, memprovokasi seseorang atau membantu orang lain.
"Sikap seseorang juga akan menentukan keberkesanan proses komunikasi yang berlaku di samping cara dan kaedah komunikasi yang digunakan," kata Adnan lagi.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Kepimpinan TeRamPiL bertajuk Kepimpinan Menerusi Komunikasi Berkesan yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan (PTi) USM di sini hari ini yang dihadiri oleh lebih 200 orang peserta.
Menjawab pertanyaan peserta, Adnan menjelaskan, komunikasi adalah proses yang kompleks yang melibatkan hubungan dengan manusia dan adalah sukar untuk memudahkannya.
"Bagaimana memudahkan (simplify) hubungan manusia yang hakikatnya begitu sukar kerana setiap orang mempunyai kelainan dalam diri.
"Mungkin hanya melalui pengalaman yang luas berdasarkan proses komunikasi selama ini, berupaya membantu kerana hakikatnya ia jauh lebih kompleks dari itu kerana ia berkait dengan tingkah laku manusia termasuk pelbagai prejudis yang ada," tegas Adnan.
#Learn
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1997