USM UNIVERSITI PERTAMA ADAKAN SISTEM LIGA BADMINTON DI KORIDOR UTARA MALAYSIA
PULAU PINANG, 3 Februari 2017 – Sebelas buah pasukan dari sekitar utara hari ini berentap bagi merebut kejuaraan Kejohanan Badminton Piala Naib Canselor 2017 buat julung-julung kali diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM).
Lebih membanggakan apabila USM menjadi universiti pertama mengadakan sistem liga badminton di koridor utara Malaysia yang turut mendapat penyertaan dari pihak Bomba, Kastam dan badan-badan swasta.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, selaras dengan usaha USM melestarikan #USMFIT, penganjuran sebegini bukan sahaja dapat melahirkan warga USM yang cergas dari segi mental dan fizikal malah menyahut seruan Naib Canselor agar sentiasa menjadi pendahulu dalam penganjuran kejohanan seumpama ini.
"Syabas buat Kelab Sukan Staf (KSS) Badminton USM dan Pusat Sukan dan Rekreasi USM atas idea ini bagi membuka penyertaan kepada staf daripada jabatan-jabatan kerajaan dan swasta untuk turut bertanding," jelasnya ketika merasmikan kejohanan tersebut di Kompleks Sukan Badminton USM.
Tambahnya lagi, menjadi harapan beliau agar kejohanan ini dapat diteruskan pada masa mendatang bagi mengukuhkan jaringan kerjasama USM dalam pelbagai rangkaian strategik tempatan dan global.
"Kejohanan ini bukan semata-mata untuk bertanding bagi merebut kejuaraan, malah saya percaya dan yakin kejohanan ini dapat membuka hubungan lebih luas antara USM dan agensi kerajaan/syarikat swasta/industri luar untuk tujuan kerjasama strategik pada masa akan datang."
Pemenang bakal membawa pulang Piala Pusingan, pingat dan wang bernilai RM2,000.00, manakala naib juara menerima pingat dan wang berjumlah RM1,000.00 dan ketiga menerima pingat dan wang berjumlah RM500.00.
Yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd Hanif; Yang DiPertua Kelab Sukan Staf USM, Mohd Shafie Ariffin dan Pengerusi Kejohanan Badminton Piala Naib Canselor USM, Dr. Mohd Ismail Isa.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 2546