HIDUPAN LIAR MALAYSIA BERDEPAN BAHAYA KEPUPUSAN
PULAU PINANG, 25 Januari 2018 – Pembangunan tidak terkawal dan kerakusan pihak tertentu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada habitat hutan, secara tidak sedar menyebabkan Malaysia kini berdepan masalah kepupusan pelbagai hidupan liar.
Lebih memeranjatkan, statistik kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 (2017) berbanding dengan 6,767 (2016) dan 6,258 (2015) yang mana Selangor, Johor dan Perak mencatatkan kematian tertinggi hidupan liar iaitu 1,745, 1,616 dan 792 (Statistik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara [PERHILITAN], 2018).
Ini menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya tidak mengendahkan kepupusan ini terjadi walaupun pelbagai strategi pengiklanan dan program kesedaran dikeluarkan saban tahun bagi tujuan memelihara hidupan liar dan alam sekitar di negara ini.
Menurut Pegawai PERHILITAN, Bahagian Pemuliharaan Biodiversiti Kuala Lumpur, Abdullah Zawawi Yazid, antara faktor penyumbang utama adalah isu pemburuan haram dan penjualan hidupan liar secara haram yang sukar untuk dikekang menjadikan hidupan liar semakin parah diancam kepupusan.
“Statistik tahun 2017 menunjukkan spesis Kera mencatatkan kematian tertinggi (4,927), diikuti oleh Babi Hutan (902), Gajah (342), Musang Pandan (327) dan spesis Beruk (320) manakala lebih dari 20 spesis haiwan liar seperti Harimau Belang, Beruang, Tapir, Buaya, Burung Hantu dll, turut mencatatkan kematian tinggi dan diancam kepupusan,” ucapnya ketika dijemput menyampaikan ceramah Seminar Konflik Manusia-Hidupan Liar di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin.
Ceramah ini bertujuan membincangkan isu-isu semasa konflik antara manusia dan hidupan liar yang semakin meruncing kebelakangan ini terutamanya isu pemburuan haram dan penjualan hidupan liar secara haram di laman-laman media sosial secara berleluasa.
Tambahnya, keadaan ini menyebabkan Malaysia tersenarai antara negara berbahaya untuk haiwan terancam berdasarkan populasi hutan untuk habitat haiwan yang semakin berkurangan akibat pembangunan hartanah, pertanian dan aktiviti pemburuan serta pembalakan haram yang tidak terkawal.
Abdullah Zawawi turut berkata dengan keadaan meruncing ini, kebanyakan spesis haiwan terancam kehilangan habitat yang sesuai menyebabkan mereka mati atau mencerobohi kawasan penempatan manusia dan menghadapi bahaya dibunuh oleh manusia.
Sumber: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)
“Saya menggesa perkara ini perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan dan pihak berkuasa terlibat kerana hidupan liar kini bukan lagi diancam tetapi telah berhadapan dengan kepupusan, malah dari beberapa pemerhatian yang dilakukan, didapati terdapat beberapa spesis telah pupus dan tidak dijumpai di habitat asalnya,” katanya.
Turut hadir adalah Profesor Kehormat Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Mashhor Mansor, pensyarah dan penyelidik serta wakil-wakil badan bukan kerajaan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 13238