PENSYARAH UNPAB SAMBUNG PELAJARAN PERINGKAT PASCASISWAZAH DI USM
USM, PULAU PINANG, 23 Januari 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda pengantarabangsaannya apabila menerima seramai 18 orang pensyarah daripada Universitas Pembangunan Panca Budi (UNPAB) Indonesia untuk meneruskan pembelajaran mereka di peringkat Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang di USM.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan alu-aluannya sempena lawatan daripada delegasi UNPAB hari ini berkata, USM sentiasa membuka ruang dan peluang kepada universiti daripada luar negara untuk berkolaborasi khususnya dalam bidang pertukaran pelajar dan ijazah berkembar.
“USM menyediakan platform kepada universiti di Indonesia untuk menghantar para pensyarahnya melanjutkan pelajaran di USM ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Asma.
Sementara itu, Rektor UNPAB, Dr M. Isa Indrawan turut mengharapkan program ini mampu melahirkan pensyarah yang dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik di UNPAB.
Sebelum itu, delegasi UNPAB turut melawat Sains@USM dan juga mengadakan pertemuan bersama Dekan-dekan Pusat Pengajian dalam membincangkan hala tuju pengajian mereka di USM kelak.
Yang hadir sama dalam majlis ini Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, Dr. Muhizam Mustafa, dan Dekan-dekan Pusat Pengajian USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1143