USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BELAJAR DI USM, BERPELUANG KE GLASGOW

IMG 0150

PULAU PINANG, 23 Januari 2018 – Bakal pelajar yang memohon untuk menyambung pengajian di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan atau Graduate School of Business (GSB) Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang untuk mengikuti program ijazah berkembar bersama Adam Smith Business School, Universiti of Glasgow (UoG), United Kingdom.

Program ini yang akan dimulakan pada bulan September ini telah memilih enam orang pelajar kumpulan pertama untuk mengikuti program ini serta menerima biasiswa dari UoG berjumlah GBP10,000.00 atau RM55,000.00 seorang dan peluang masih dibuka untuk pemohon yang berminat.  

“Jumlah keseluruhan biasiswa yang ditawarkan oleh UoG adalah sebanyak GBP150,000 atau RM825,000 untuk mengikuti program Ijazah Berkembar (Double Degree) MBA-MSc Euro-Asian,” kata Vice-Principal (Academic & Educational Innovation) UoG, Profesor Frank Coton.

“Para pelajar ini akan belajar selama setahun di GSB dan setahun lagi di UoG dan apabila selesai pengajian mereka akan menerima dua ijazah iaitu MBA USM dan MSc dari UoG.

"Kerjasama yang dijalinkan pada hari ini akan melatih para pemimpin generasi akan datang dalam perniagaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan memahami cabaran-cabaran bekerja dalam persekitaran global serta mengekalkan kelestarian ilmu perniagaan," tambahnya lagi.

"Kerjasama ini sangat penting dan untuk makluman, pihak UoG hanya akan mewujudkan jaringan dan perkongsian yang telah dinilai kepentingan serta dapat memberikan perubahan kepada masyarakat dan pada masa ini kami telah mengurangkan bilangan rakan kongsi global,” katanya.

"Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) ini adalah untuk kita bekerja bersama-sama dengan lebih erat dan membolehkan mencapai matlamat bersama iaitu menzahirkan pendidikan ke peringkat antarabangsa," kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail semasa majlis penandatanganan MoA di antara USM dengan UoG dan juga USM dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

"Saya yakin bahawa melalui usaha dan komitmen ini kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan serta terus menjalinkan hubungan dan persahabatan yang lebih kuat antara institusi kita," tambahnya.

"Saya berharap peluang sebegini tidak akan dipersiakan pada masa hadapan dan merebut potensi untuk memperluaskan kerjasama dengan lebih daripada dua universiti atau dua bandar seperti Pulau Pinang-Bandung-Glasgow," katanya.

IMG 0182

Sementara itu, Vice-Dean, School of Business & Management ITB, Profesor Dr. Ir. Utomo Sarjono Putro berkata, penawaran program sebegini diharap dapat membantu para ahli perniagaan untuk memahami lebih banyak tentang perniagaan di peringkat ASEAN.  

“Program yang akan ditawarkan oleh USM dan ITB adalah Dwi Ijazah ASEAN MBA yang mana para pelajar akan belajar di School of Business Management di ITB dan juga pembelajaran atas talian bersama para pensyarah GSB USM di Pulau Pinang,” kata Utomo Sarjono.

"Komuniti ASEAN memberikan banyak peluang dan ruang seperti pertumbuhan ekonomi dan ini adalah peluang untuk sebuah sekolah perniagaan untuk menyumbang ke arah mencapai matlamat itu," tambahnya.

Turut hadir ialah Dekan GSB, Profesor Dr. Azlan Amran; Ombudsman USM, Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Photo: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1612

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024