USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH USM DISERU BERPEGANG KEPADA “KAMI MEMIMPIN”

IMG 0451

PULAU PINANG, 25 April 2015 - Siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa berpegang kepada moto Kami Memimpin untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Demikian titah Raja Perlis selaku Canselor USM D.Y.M.M Tuanku Syed Siirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada Sidang Pertama Upacara konvokesyen Ke-51 pagi ini. Sebelum itu baginda menyampaikan ijazah kepada 262 orang siswazah Doktor Falsafah, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Kesihatan Awam

IMG 0475

“Bilangan yang besar bukanlah satu-satunya ukuran sebenar kejayaan yang kita capai, tetapi bergantung juga kepada sejauh mana sumbangan kita kepada masyarakat dan negara kerana kejayaan universiti perlu dilihat melalui  kemampuan kita mengeluarkan siswazah yang dapat memimpin dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai organisasi, institusi, korporat malah dunia seluruhnya dan sejauh mana mampu menzahirkan makna “Kami Memimpin” di mana sahaja mereka berada termasuk dalam keluarga dan masyarakat,” titah baginda.

Jelas baginda lagi, “Kami Memimpin” seharusnya dipegang teguh dengan berpandukan kepada nilai-nilai hidup yang tinggi melalui pegangan agama yang kukuh sebagai pedoman hidupnya, integriti yang tinggi, bijak dalam membuat keputusan serta kuat dari segi mentalnya untuk menghadapi segala cabaran yang ada di samping memiliki nilai-nilai usahawan yang tinggi dalam menerokai peluang dan kejayaan dalam pelbagai bidang.

IMG 0616

IMG 0636

Baginda turut menggesa agar para siswazah sentiasa berpegang kepada nilai-nilai kasih sayang, hormat menghormati, mempertahankan institusi keluarga, menjaga ibu bapa, menghormati orang lain, berbudi pekerti yang tinggi dan mempunyai toleransi dalam hidup bermasyarakat juga sangat penting untuk diingati dan diamal dalam hidup malah seorang yang berilmu tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa yang sudah tua serta nasib mereka yang malang yang berada di sekelilingnya. Kerana keberkatan ilmu juga adalah dari doa dan restu ibu bapa.

IMG 0692

“Kita perlu ikhlas dalam memberikan khidmat bakti kepada siapa sahaja dan menghormati kepelbagaian yang ada untuk mewujudkan masyarakat dan dunia yang lestari dan sejahtera dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi di universiti, seiring dengan pegangan kukuh kepada nilai-nilai tersebut, kita mampu melahirkan pemimpin masa hadapan yang melihat kepentingan masyarakat dan negara malah dunia mengatasi kepentingan peribadi, serta pemimpin yang memahami aspirasi pembangunan masa hadapan yang seimbang di antara material dengan kesejahteraan mental dan sosial,” titah baginda.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pula meminta agar para siswazah kembali memberikan pandangan dan sumbangan sebagai sebahagian daripada pemikir strategik USM melalui maklum balas, saranan dan pemikiran untuk USM berupaya menghadapi cabaran masa hadapan.

IMG 0650

IMG 0679

IMG 0720

“Sebagai sebahagian daripada komuniti ilmuan besar yang dilahirkan oleh Universiti para siswazah menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga nama USM dan amanah untuk bersama-sama memainkan peranan dalam melahirkan generasi berilmu yang dapat pula menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat serta memimpin masyarakat dan memacu kecemerlangan dalam apa jua usaha yang dilakukan sama ada dalam konteks institusi, masyarakat mahu pun diri sendiri,” kata Omar berucap pada majlis yang sama.

Para siswazah seharusnya menjadi role model masyarakat sebagai seorang yang berilmu dan berpendidikan tinggi serta melihat jauh ke hadapan dengan pelbagai perkembangan pesat yang berlaku dalam teknologi dan kehidupan masa kini.

Katanya lagi, apa yang kita anggap relevan pada masa dahulu kini sudah jauh tertinggal dan kepantasan mobiliti hidup yang jika kita tidak sedar, akan menjadikan kita cepat ketinggalan, terutamanya dengan bilangan yang menguasai ilmu pengetahuan kian bertambah termasuk secara atas talian dan pandangan hidup manusia banyak dipengaruhi oleh banyaknya maklumat yang diperolehi dan dihadam saban hari.

IMG 0728

“Namun begitu, banyak nilai hidup yang perlu dipertahankan dalam memastikan kualiti hidup manusia seluruhnya dapat lestari dan mapan, lebih inklusif dan berada pada tahap yang sewajarnya yang walau pun mencapai tahap negara maju, tetapi mestilah berada dalam acuan kita dengan mempertahankan apa jua nilai murni yang ada,” kata Naib Canselor USM itu lagi.

Tegasnya, inilah juga cabaran yang dihadapi oleh universiti dalam memastikannya terus relevan dan menjadi menara ilmu yang dapat menghasilkan para siswazah yang seimbang dan sedar terhadap peranan yang harus dimainkannya dalam konteks masa hadapan dan melahirkan para ilmuan yang holistik sebagai pemimpin yang dapat memacu kecemerlangan dalam konteks universiti APEX.

IMG 0732

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid. Turut menyaksikan upacara konvokesyen USM ialah Pro Canselor Tan Sri Dr. M. Jegathesan dan Tan Sri Datuk Mustafa Mansur serta ahli-ahli Gabenor dan ahli Senat USM. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1284

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024