USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONTINJEN USM ANTARA KONTINJEN TERBAIK PERARAKAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT PULAU PINANG 1439H

24174682 1517214184981321 3975240924559422104 n

PULAU PINANG, 1 Disember 2017 – Kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih sebagai salah satu kontinjen terbaik bersama empat kontinjen lain yang menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1439H/2017M.

Kontinjen USM adalah antara 40 kontinjen dari pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi dan badan berkanun yang mengambil bahagian melalui laluan perarakan sejauh 650 meter bermula dari Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai dan berakhir di Masjid Nurul Iman, Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan.

Kelima-lima kontinjen tersebut memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 beserta sijil dan plak.

Kontinjen USM itu dianggotai oleh seramai 63 orang staf USM yang ada antaranya merupakan kali pertama menyertai perarakan seumpama ini.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan dari Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM yang juga ketua kontinjen, Siti Aishah Abdul Raffar, dia amat gembira dan berbangga kerana ini adalah kemenangan sulung bagi kontinjen USM dan dia tidak menjangka kontinjen USM mampu meraih pencapaian yang dilakar ini. Sebelum ini, kontinjen USM pernah menyertai perarakan tetapi tidak pernah memenangi sebarang hadiah.

“Ada banyak faktor yang telah menyumbang kepada pencapaian kontinjen USM pada perarakan kali ini yang dianggap sesuatu yang di luar jangkaan antaranya persiapan yang kita lakukan cukup baik dan konsisten daripada segi latihan dan disiplin,” kata Siti Aishah.  

Jelasnya lagi, semua peserta diwajibkan untuk menghadiri lima kali latihan kawad sebagai persiapan dari segi fizikal dan mental, dan ini merupakan cerucuk utama kekuatan kontinjen kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama USM dapat dijulang.

“Namun tujuan utama kontinjen USM menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul adalah sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Dengan menyertai perarakan ini, peserta dapat memantapkan keyakinan terhadap Rasulullah SAW, meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, dapat menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan dalam semua aspek kehidupan dan menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan,” ujarnya.

Teks asal: Siti Aishah Abdul Raffar/Suntingan: Tan Ewe Hoe



  • Created on .
  • Hits: 991

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024