330 PELAJAR PERUBATAN USM-KLE JAYAKAN HARI DIABETES SEDUNIA PERINGKAT BELGAUM, INDIA
BELGAUM, INDIA, 22 November 2017 – Seramai 330 orang pelajar perubatan Universiti Sains Malaysia-Karnataka Lingayat Education (USM-KLE) bersama-sama pihak KLE Society Prabhakar Kore Charitable Hospital and Medical Research Centre menyambut Hari Diabetes Sedunia peringkat Belgaum, India dengan mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.
Menurut pelajar Perubatan Tahun 3 USM-KLE, Muhamad Ridzuan Jamian, yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM-KLE Sidang Akademik 2017/2018, antara aktiviti yang dijalankan ialah perarakan "Diabetes Walk", "Free Diabetes Check-Up", "Conference on Diabetes Mellitus" dan "Pamphlet Distribution on Diabetes Mellitus.”
“Selain itu, pelajar perubatan USM-KLE turut mengambil bahagian dalam mengendalikan saringan penyakit diabetes untuk 150 pesakit yang hadir ke Pusat Diabetes Hospital KLE.
“Saya dan rakan-rakan berasa amat teruja sekali kerana pada tahun ini, sambutan dalam kalangan mahasiswa USM-KLE adalah yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Syukur kita berjaya mengumpulkan seramai 330 orang pelajar USM-KLE dari Tahun 1 hingga ke Tahun 5,” katanya.
Kata Muhamad Ridzuan lagi, selain berasa teruja kerana diberi peluang untuk turut serta dalam perarakan (Diabetes Walk) tahun ini, seramai 15 orang daripada kami turut diberi peluang untuk mengendalikan sesi ‘medical check-up’ dan ‘screening’ buat pesakit yang bertandang ke Pusat Diabetes tersebut.
“Ini merupakan pengalaman berharga kerana kami dapat melayan pesakit-pesakit tempatan yang hadir. Mereka juga berasa teruja apabila dilayan oleh pelajar perubatan dari Malaysia,” tambahnya.
“Selain dapat menimba ilmu dan pengalaman di negara orang, saya juga seronok kerana dapat membantu meningkatkan kesedaran untuk menjaga kesihatan dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Justeru itu, saya berharap agar program ini dapat diteruskan dan dilestarikan pada tahun hadapan khususnya bagi membantu mereka dari golongan bottom billion (BPL: below poverty line) di sini,” kata Muhamad Ridzuan.
Aktiviti tersebut dirasmikan oleh Canselor KLE Society, Dr. Prabhakar Kore. Yang turut hadir ialah Naib Canselor KLE Society Dr. Vivek Saoji; Pengarah USM-KLE IMP, Dr. H.B. Rajasekhar dan Pengarah KLES Dr. Prabhakar Kore Charitable Hospital and Medical Research Centre, Dr. M.V. Jali.
Tarikh 14 November telah diwartakan sebagai Hari Diabetes Sedunia kerana tarikh tersebut merupakan tarikh lahir ahli sains, Dr. Frederick Banting dan Charles Best yang berjaya menemui hormon insulin untuk merawat pesakit diabetes pada tahun 1922.
Teks asal: Muhamad Ridzuan Jamian (MPP S.A. 2017/2018)/Suntingan: Tan Ewe Hoe & Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1497