DPP DISARAN BAHAS USUL STRATEGIK
PULAU PINANG, 9 Disember 2017 – Mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar (DPP) yang menjadi medan perbahasan berkaitan isu kebajikan dan urus tadbir Universiti disaran berbahas mengenai isu-isu lebih besar yang boleh membawa perubahan kepada sebuah universiti yang lebih maju.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, hasrat itu disuarakan oleh Naib Canselor yang mahu melihat DPP berdebat berkaitan dasar atau polisi yang membantu universiti bergerak dengan lebih cemerlang.
"Universiti memandang serius setiap usul yang dibahaskan, malah melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti kita bersetuju supaya ada wakil DPP dimasukkan sebagai ahli bagi menyuarakan idea dan saranan," katanya.
Tambahnya, DPP yang masuk tahun kelapan dilaksanakan wajar ditransformasi sebagai wahana untuk membangun dan merealisasikan pemikiran besar generasi muda khususnya pelajar USM yang melangkaui hal-hal kebajikan dan prasarana.
Mesyuarat DPP kali ini menyaksikan pembentangan 22 usul membabitkan pelbagai isu berkaitan kebajikan dan pemerkasaan urus tadbir USM.
Antara yang dibahaskan termasuk usul yang mencadangkan USM merangka 'Finishing School Module' bagi pelajar tahun ketiga sebelum mereka memulakan latihan industri, pengurusan atlet yang mapan, penyelarasan harga makanan di kafetaria USM dan sebagainya.DPP turut mengusulkan usul tergempar berkaitan Baitulmaqdis bagi menyuarakan suara pelajar institusi pendidikan tinggi dalam isu antarabangsa yang mendapat reaksi pelbagai pihak itu.
Mesyuarat DPP itu dipengerusikan oleh Speaker Dewan, Muhammad Afi Adli Hasnul manakala Nur Athirah Ahmad Faris dilantik sebagai Timbalan Speaker.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1319