PENSYARAH CETUS KESEDARAN CEREBRAL PALSY KEPADA MASYARAKAT
BUKIT MERTAJAM, 8 Disember 2017 – Melalui Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), pensyarah Bahagian Kerja Sosial, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan telah mengadakan kempen kesedaran tentang kepentingan komuniti memahami ibu bapa yang mempunyai anak-anak cerebral palsy baru-baru ini.
Menurut pensyarah terlibat, Dr. Syazwani Drani, objektif kempen ini antaranya adalah untuk mendedahkan kepada orang awam tentang apakah itu cerebral palsy dan kempen ini menekankan aspek komuniti itu sendiri yang perlu mendekati ibu bapa dan anak-anak cerebral palsy kerana mereka memerlukan kefahaman dan sokongan komuniti agar kewujudan mereka diterima dalam masyarakat.
Selain itu katanya, melalui kempen ini, aspek elakkan stigma dan diskriminasi juga turut ditekankan di samping ianya mengajak komuniti untuk ‘cuba peduli’ dengan masalah, kerunsingan, kerisauan dan beban yang ditanggung oleh ibu bapa dan anak-anak cerebral palsy.
“Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, masih ramai masyarakat di luar sana yang tidak mengetahui tentang cerebral palsy, Walau bagaimanapun, sambutan kempen ini amat menggalakkan memandangkan ramai yang hadir ke booth bagi mengetahui sendiri perihal cerebral palsy,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kempen ini adalah antara program awal yang dilakukan memandangkan selepas ini beliau akan menganjurkan satu program bersama-sama anak-anak dan ibu bapa cerebral palsy bagi memberi pendedahan tentang intervensi awal terhadap penjagaan dan perkembangan motor halus dan motor kasar anak-anak cerebral palsy.
“Fokus diberikan kepada ibu bapa baru yang disahkan oleh doktor perubatan bahawa mereka mempunyai anak yang didiagnosis sebagai cerebral palsy,” ujarnya.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1410