PASUKAN SUKANUN USM HARAP TUAH NEGERI DI BAWAH BAYU
PULAU PINANG, 23 April 2015 - Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2015 ke-9 yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah dari 28 April sehingga 3 Mei 2015 nanti diharapkan dapat melonjakkan kembali nama Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi antara pasukan yang disegani oleh semua pasukan yang bertanding.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengharapkan kesemua atlet yang bertanding nanti mempamerkan semangat juang yang jitu dan tinggi.
"Kalah dan menang memang adat dalam setiap pertandingan, namun biarlah ianya dinoktahkan dengan bermaruah dan penuh disiplin," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bendera kepada kontingen yang akan bertanding di Stadium Hoki USM hari ini.
Seramai 50 atlet dan pegawai akan membawa panji USM dalam sukan bolasepak veteran, boling tenpin, ping pong dan olahraga yang akan diketuai Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Haji Muhammad Mohd Hanif.
"Diharapkan atlet-atlet USM dapat menghadiahkan sesuatu yang lebih bermakna, selepas berjaya menuai 2 pingat emas melalui olahraga semasa kejohanan lepas yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)."
Bagi Nadzhri Md. Yusop, pengurus pasukan bolasepak veteran, sasaran layak ke perlawanan akhir menjadi misi utama mereka setelah gagal dalam edisi 2013 yang lalu.
"Tempat keempat pada kejohanan lepas, bukanlah ukuran sebenar kekuatan kami. Azam kali ini adalah untuk memperbaiki pencapaian tersebut, dan bersandarkan doa dan kelebihan yang dimiliki, tidak mustahil gelaran juara dalam genggaman."
Sebanyak 30 pasukan, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), FELDA dan pasukan-pasukan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan yang mempertandingkan 20 jenis sukan itu. - Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto : Mohammad Shafiq Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 1405