PENYELIDIK USM TERIMA GERAN YAYASAN EMKAY KAJI KESEDARAN ORANG ASLI BELUM-TEMENGGOR TERHADAP TIBI
KUALA LUMPUR, 7 Disember 2017 – Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Khairiah Salwa Mokhtar dipilih menerima Anugerah Geran Industri Yayasan EMKAY bagi tujuan penyelidikan berkaitan kesedaran masyarakat orang asli di kawasan Belum-Temenggor terhadap penyakit tibi.
Anugerah Geran bernilai RM140,000 ini mengambil kira beberapa peruntukan tajaan penyelidikan (in-kind) tentang kesedaran kesihatan berkaitan tibi terhadap empat buah perkampungan masyarakat orang asli di Belum-Temenggor.
Menurut Khairiah Salwa yang juga penyelidik dan pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, beliau sebagai ketua penyelidik bersama 7 penyelidik yang lain telah memulakan penyelidikan di perkampungan orang asli bermula 17 November yang lalu.
"Penyelidikan mengambil tempoh selama 3 tahun sehingga November 2020 merangkumi beberapa tajaan yang telah dipersetujui oleh Yayasan EMKAY bagi kemudahan penyelidik sepanjang tempoh terbabit."
Tambah beliau, antaranya adalah pengurusan dan pengendalian lawatan ke tapak kajian, tempat tinggal untuk penyelidik sepanjang penyelidikan, pembantu khas buat penyelidik yang arif sekitar Belum-Temenggor, tajaan pengangkutan bot ke Hutan Belum, penggunaan ruang pejabat bagi tujuan rundingan dan mesyuarat di Pulau Banding, dan lain-lain lagi.
Anugerah ini disampaikan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan EMKAY, Tan Sri Dato' Hj. Mustapha Kamal Abu Bakar kepada Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, mewakili Naib Canselor USM.
Pada majlis yang sama, Mustapha Kamal berharap dengan tajaan penyelidikan ini dapat memberikan impak yang lebih baik bagi membantu perkembangan dan pembangunan lestari kehidupan masyarakat orang asli di kawasan itu.
"Selain mengekalkan ekosistem alam sekitar di situ, saya juga amat mengharapkan peningkatan taraf kehidupan masyarakat orang asli agar mereka tidak diabaikan. Ini kerana tanpa kita sedari mereka berperanan penting dalam mengekalkan hidupan di Belum-Temenggor."
Beliau yang juga pemilik Royal Belum berkata, sumbangan tajaan ini diharap akan memudahkan lagi para penyelidik dalam memenuhi hasrat USM dan Yayasan EMKAY bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli khususnya di Belum-Temenggor ini.
Pada masa yang sama Muhamad Jantan melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan EMKAY kerana memberi kepercayaan kepada USM bagi mengendali penyelidikan ini dan semestinya USM akan melaksanakan sebaik mungkin bagi memenuhi hasrat bersama seperti dirancang.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan EMKAY, Puan Hajah Zainon Kasim, penyelidik bersekutu Dr. Nur Hairani Abd Rahman dan Dr. Norziani Dahlan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1053