USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMPEN ‘IT’S IN US’ TINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP PENYAKIT MENTAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT

its us

PULAU PINANG, 3 Disember 2017 – Kesedaran tentang pentingnya perhatian terhadap pesakit mental dalam kalangan masyarakat di Malaysia pada masa kini yang dilihat kurang dipandang serius telah mendorong pelajar tahun akhir jurusan komunikasi pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan kempen ‘It’s In Us’: The Final Escape’.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan dalam ucapannya mewakili Naib Canselor USM berkata, program ini juga bertujuan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.

“Sumbangan yang saya maksudkan di sini bukanlah sumbangan dari segi kewangan semata-mata tetapi juga dari aspek khidmat komuniti yang diberikan seperti menyantuni masyarakat dan mengajak mereka untuk lebih prihatin dan peka terhadap isu kesihatan mental yang semakin lama semakin meluas di negara kita,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak universiti sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha meningkatkan program kesedaran pentingnya penjagaan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia yang menjadi modal insan berkualiti untuk masa depan negara.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendedahkan hampir 30 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah kesihatan mental. Walaupun isu ini bukan tergolong dalam isu yang kritikal, namun ianya dilihat semakin membimbangkan kerana semakin ramai masyarakat berisiko menghadapi masalah kesihatan mental disebabkan tekanan dan perubahan gaya hidup lebih-lebih lagi berkaitan masalah kewangan,” katanya sempena majlis perasmian penutupan kempen ‘It’s In Us’: The Final Escape’ di sini, hari ini.

“Program-program kesedaran seperti ini seharusnya diberikan perhatian dan sokongan dengan penerapan kesemua Rukun Nilai USM dengan harapan agar setiap warga USM menjadi lebih peka, prihatin kepada individu sekeliling di samping menjaga nilai-nilai moral dan etika sebagai warga kampus yang sejahtera dalam semangat Kami Memimpin, Memacu Kecemerlangan.

Kempen yang telah bermula September hingga November ini mensasarkan tiga objektif utama iaitu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berkaitan penyakit mental, mengurangkan stigma sosial berkaitan dengan masalah kesihatan mental dan mendidik masyarakat khususnya para belia mengenai cara memberi sokongan kepada orang yang mempunyai masalah ini.

Kempen ini melibatkan 42 orang pelajar yang melaksanakan pelbagai program yang diadakan di dalam kampus serta di sekitar Georgetown dalam tempoh tersebut.

Amtara yang turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Shuhaida Md. Noor dan Timbalan Dekan Akademik, Pelajar & Alumni Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Nik Norma Nik Hasan.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2345

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024