USM LANCAR My QIRA GALAKKAN PENGUNJUNG KE MASJID
PULAU PINANG, 30 November 2017 – Bagi menggalakkan warga kampus dan komuniti luar mengunjungi dan menyertai program-program yang diadakan di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan My QIRA iaitu sistem mata rangsangan buat pengunjung yang menyertai aktiviti yang disediakan oleh masjid.
My QIRA, sistem yang dibangunkan hasil inisiatif Pusat Islam USM ini merupakan sistem mata rangsangan untuk memberi galakan kepada pengunjung Masjid Al-Malik Khalid bagi mempertingkatkan ilmu, iman dan amal.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Puan Rohayati Daud, melalui sistem ini pengunjung akan menerima mata ganjaran dalam penglibatan aktiviti masjid dan Pusat Islam serta mendapat sumbangan berbentuk cenderahati, baucer, diskaun dan lain-lain galakan istimewa dari semasa ke semasa.
“Sistem ini dibangunkan bukanlah semata-mata bertujuan kepada ganjaran semata-mata, tetapi dengan adanya inisiatif seperti ini secara tidak langsung warga masjid dapat mendekati pengunjung dan menyebarkan serta mempromosi aktiviti yang diadakan membuatkan mereka tertarik dan terbuka hati untuk kerap hadir ke sini,” katanya.
Tambah Rohayati, sepanjang tahun Pusat Islam menyajikan pelbagai program dan aktiviti keagamaan di Masjid serta sentiasa mewarwarkan ia di dalam mahupun luar kampus bagi tujuan orang ramai sentiasa mendekati masjid selain dapat meningkatkan amal ibadah.
My QIRA ini telah dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang juga turut merasmikan Ihtifal Maulidur Rasul Peringkat USM yang berlangsung selama 3 hari bermula 29 November sehingga 1 Disember 2017 sempena menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.
Pada ucapan di majlis perasmian itu juga, Adnan berharap penganjuran majlis seperti ini mampu menarik minat anak-anak muda terutama sekali mahasiswa USM untuk turut merasai sambutan Maulidur Rasul di kampus.
“Pusat Islam dan Masjid adalah sinonim sebagai pusat tumpuan dalam pembangunan sesebuah masyarakat Islam dan peranan ini dilihat mampu menyuburkan kembali nilai-nilai holistik dan keseimbangan terutamanya buat mahasiswa USM,” katanya.
Jelasnya, masjid hari ini bukan sekadar tempat beribadah semata-mata, namun menjadi pusat kegiatan masyarakat, bersesuaian juga dengan suasana semasa, peranan ini mestilah diperkasakan lagi dan diberi sokongan oleh semua pihak.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1431