USM PERKASA KEUPAYAAN PELAJAR DALAM PEMINDAHAN ILMU
PULAU PINANG, 22 April 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bukan sahaja berjaya mengeluarkan pelajar yang holistik, malahan memperkasa keupayaan bakat pelajar melalui beberapa siri syarahan umum "Talk Series" yang disampaikan oleh para pelajar melalui proses pemindahan ilmu.
Penyelaras Eco-Hub USM, Profesor Madya Dr. Saad Othman turut menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai platform terbaik dalam mengupayakan bakat serta mendekatkan diri para pelajar kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kesukarelawanan.
"Menariknya, sesi syarahan ini disampaikan oleh para pelajar sendiri, dan ianya berbeza seperti di dalam kelas dan penyampaian tersebut lebih berkesan dan proses memindahkan ilmu menjadi lebih mudah.
"Saya berharap agar program ini diteruskan kerana memberi pendedahan yang jitu kepada para pelajar di samping dapat mencungkil bakat-bakat dan kebolehan mereka menyampaikan ilmu kepada rakan-rakan yang lain," ujar Saad mengakhiri perbualan bersama TVUSM.
Menurut Yang Dipertua Sukarelawan Kampus Sejahtera 2014/2015 USM, Wee Soon Kit, beliau menyifatkan program berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihak Kampus Sejahtera dalam memindahkan ilmu yang dimiliki kepada para pelajar yang lain.
"Kami merupakan key driver yang menjalankan program-program khususnya untuk kelestarian universiti agar ilmu yang dimiliki setiap daripada ahli dapat dikongsi bersama-sama dengan para pelajar yang lain.
"Program ini merupakan pemindahan ilmu, sebagaimana pada hari ini, siri syarahan berkenaan kepelbagaian bio yang disampaikan oleh salah seorang daripada enam orang ikon Kampus Sejahtera yang mahir dalam bidang berkenaan," ujar Wee lagi.
Wee turut menzahirkan harapannya agar para pelajar terus menyokong usaha-usaha dalam melestarikan kampus khususnya bagi Mentransformasikan Pengajian Tinggi Untuk Kelestarian Hari Esok sebagaimana misi universiti dalam melahirkan siswazah yang holistik untuk memacu kecemerlangan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, penyampai siri syarahan berkenaan, saudari Noor Syafira Zainal Abidin turut menyifatkan program berkenaan sebagai platform untuknya menyampaikan ilmu terhadap bidang yang dipelajari kepada rakan-rakan pelajar yang lain.
"Saya berharap agar program ini dapat diteruskan di samping dapat membuka ruang kepada para pelajar berkongsi informasi dan usaha ini diharap dapat membantu rakan-rakan lain supaya lebih mengenali sesuatu bidang apabila ianya disampaikan secara santai dan bersahaja,” ujar pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Noor Syafira terlebih dahulu menyampaikan siri syarahan kepelbagaian bio yang bertajuk "Preserved Biodiversity, Preserved Our Planet" turut menzahirkan rasa gembiranya apabila kesedaran memelihara kepelbagaian bio mendapat tempat di hati para pelajar dengan kehadiran mereka memenuhi ruang dewan dan menyeru agar para mahasiswa memelihara kelestarian di dalam kampus untuk kesejahteraan sejagat. Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto : Zamani Abdul Rahim.
- Created on .
- Hits: 1713