USM SERTAI PROGRAM MINGGU DERMA DARAH UA BANTU TAMPUNG KEPERLUAN DARAH PUSAT TABUNG DARAH NEGARA
USM, PULAU PINANG, 23 November 2017 – Universiti Sains Malaysia terus prihatin dalam menjaga kebajikan masyarakat apabila turut serta dalam Program Minggu Derma Darah Mahasiswa Prihatin Universiti Awam Malaysia 2017.
Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia di samping membantu menampung keperluan darah di Pusat Tabung Darah Negara.
“Pada hari ini, kita mensasarkan sebanyak 150 pek darah dapat dikumpul melalui hasil derma darah oleh warga kampus USM dalam usaha untuk menampung keperluan darah di Pusat Tabung Darah Negara,” tambahnya.
Jelas Dr. Normala lagi, program yang diadakan pada hari ini juga mendapat kerjasama daripada Hospital Pulau Pinang yang turut sama turun padang.
“Kita dapat lihat usaha murni yang dijalankan oleh Pusat Sejahtera ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus khususnya para pelajar yang mengambil kesempatan untuk menderma darah,” katanya lagi.
Pelancaran program ini telah diadakan pada 20 November lepas di Universiti Malaya yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 974