KANSER ORAL CEGAH SEBELUM PARAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 November 2017 – "Orang ramai diminta menjalani pemeriksaan awal untuk mengesan kanser oral sebelum keadaan menjadi lebih mudarat," demikian nasihat Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Adam Husein dalam ucapan perasmian Program Sambutan Hari Kanser Oral Peringkat Hospital USM.
Menurutnya, kanser oral pada peringkat awal sering tidak menyakitkan serta tidak dapat dikesan dan atas sebab inilah pentingnya pengesanan seawal mungkin.
“Menyedari hakikat tersebut, PPSG mengambil langkah proaktif menjalankan program seumpama ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kanser oral melalui ceramah kesihatan, pameran dan perkhidmatan pemeriksaan awal kanser oral,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Penyelaras Perkhidmatan Pergigian PPSG, Profesor Madya Dr. Shaifulizan Ab Rahman, ciri-ciri kanser oral yang perlu diambil perhatian adalah ketumbuhan yang tidak normal dalam kawasan mulut, luka atau ulser yang berpanjangan tetapi tidak sakit, bonjolan atau lebihan daging yang tidak selesa yang mengakibatkan gigi menjadi longgar dan tompokan merah atau putih yang tidak hilang lebih daripada tiga minggu.
"Kanser oral berpunca daripada amalan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, radiasi, kekurangan aktiviti fizikal, pemakanan tidak terkawal seperti mengambil minuman keras dan amalan memakan sireh serta pencemaran alam sekitar," katanya.
Tambah Shaifulizan, pencegahan lebih baik daripada merawat dan pihaknya akan cuba sedaya mungkin membantu masyarakat dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyakit kanser oral agar mereka lebih faham serta mengambil langkah pencegahan awal.
Bagi memberikan kesedaran, dua orang bekas pesakit kanser oral yang telah berjaya menjalani pembedahan turut dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka supaya dapat membantu orang ramai agar lebih cakna terhadap penyakit ini.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1226