USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CROWD FUNDING ANTARA INISIATIF PELAJAR SENI USM KE PERTANDINGAN 3R SCULTURE 2017

WhatsApp Image 2017 11 19 at 12.27.20 PM

PULAU PINANG, 19 November 2017 – Dua pelajar Pusat Pengajian Seni, Putri Sari Amrizal dan Nor Fatihah Yusof yang sangat obses dan minat bidang kesenian telah berjaya menghasilkan sebuah arca yang diberi nama ‘Rites de Passage’ yang merupakan finalis di Pertandingan Sculpture 3R anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWACorp) sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2017 di Putrajaya kelmarin.

Jika diikut kronologi kedua-dua pelajar tersebut yang dapat diambil iktibar adalah dengan minat mereka yang mendalam untuk menggapai cita-cita mereka, mereka telah melaksanakan inisiatif crowd funding iaitu mencari dana dari pelbagai pihak untuk menampung kos mereka untuk ke pertandingan idaman mereka ini.

Menurut Fatihah, Rites de Passage atau transisi ritual adalah istilah yang mula diperkenalkan oleh Arnold Van Gennep yang menulis judul tersebut pada tahun 1909.

“Sesuai dengan tema arca 3D 2017 iaitu ‘The Beauty Within’, arca yang dihasilkan menonjolkan fasa perubahan kehidupan manusia seperti mana fasa perubahan rama-rama iaitu dari ulat, kemudian kepompong dan seterusnya berubah menjadi seekor rama-rama.

“Kami tidak sangka yang kami mampu menghasilkan sebuah arca dengan ketinggian 150 cm, lebar 150 cm dan panjang 150 cm dengan hanya menggunakan bahan-bahan terbuang seperti papan elektronik, botol plastik, cakera padat, logam terbuang dan serat batang pisang,” katanya.

Tambahnya, sesuai dengan konsep fasa perubahan atau transisi tersebut, bahan yang digunakan bagi penghasilan arca ini juga telah melalui fasa-fasa perubahan, contohnya seperti petroleum yang telah melalui pelbagai fasa perubahan sehinggalah boleh dijadikan plastik atau logam dari dalam tanah yang diolah sehingga menjadi antara bahan penting dalam alat elektronik dan sebagainya.

Tahun lalu karya mereka menjadi johan bagi pertandingan ini, namun tahun ini rezeki tidak menyebelahi mereka, akan tetapi mereka mempelajari sesuatu dalam mematangkan lagi kepakaran dalam karya seni mereka untuk lebih menonjol pada tahun mendatang.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1276

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024