USM JUARAI BOLA TAMPAR DI TEMASYA SUKAN PEMENANG 2017
USM, PULAU PINANG, 18 November 2017 - Pasukan Bola Tampar Lelaki Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menjuarai Temasya Sukan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) 2017 bagi sukan bola tampar.
Di perlawanan akhir, USM yang di bawah kendalian jurulatih yang juga staf Jabatan Pembangunan, Hairul Fitri Ahmad berjaya menewaskan Pirates Kampung Belah Dua dengan kiraan mata 15-25, 25-23, 15-14. Permainan berlangsung dalam format liga dan sebanyak 6 pasukan bertanding.
Hadir menyampaikan hadiah di lokasi kejohanan di Kompleks Sukan Azman Hashim USM adalah Presiden PEMENANG, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff.
Menurut Yusoff, hasrat PEMENANG adalah untuk menghidupkan kembali Temasya Sukan PEMENANG ini bagi menarik semula minat serta semangat belia-belia Melayu daripada kampung-kampung dan mukim-mukim dari seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai.
“Sesungguhnya, sejajar dengan tujuan dan matlamat ini, PEMENANG berharap menerusi Temasya Sukan PEMENANG ini, kita dapat mengeratkan persahabatan serta muhibbah di antara satu kampung atau mukim dengan yang lain melalui aktiviti sukan,” katanya.
Temasya Sukan PEMENANG 2017 berlangsung dari 18-19 & 25-26 November 2017 dan antara acara-acara yang dipertandingkan adalah Olahraga, Futsal, Sepak Takraw, Karom, Dam Aji, Golf, Bola Jaring, Bola Tampar, Ping Pong, Pentaque, Congkak, Batu Seremban, Badminton dan Boling Tenpin.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1728