USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESAKIT BIPOLAR DISORDER TIDAK SEDAR SIMPTOM PENYAKIT

 

bipolar

USM, PULAU PINANG, 16 November 2017 – Seseorang individu yang didiagnos menghidap penyakit Bipolar Disorder selalunya amat sukar menerima kenyataan menghidap penyakit berkenaan kerana simptom-simptom penyakit tersebut yang jarang disedari oleh individu berkenaan.

Menurut pensyarah perubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah, orang ramai yang menyedari individu di sekeliling mempunyai masalah kesihatan mental seperti tekanan melampau atau kemurungan, perlu menasihati dan memberikan sokongan kepada pesakit untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Selalunya, pesakit akan enggan berjumpa pakar psikiatri kerana menganggap mereka normal dan tidak memerlukan terapi pesakit mental," tambah Mohammad Farris Iman Leong ketika menjadi panelis bagi forum “True Stories Unveiled” iaitu forum mengenai kesihatan mental yang dianjurkan oleh para pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM.

Pengarah, pelakon, dan penulis lirik, Isma Yusoof yang juga pesakit Bipolar Disorder berkata sepanjang tempoh menghidapi simptom–simptom penyakit tersebut, beliau masih terus bekerja sehinggalah tidak dapat menanggung tekanan yang dihadapi dan meminta rakan untuk membawanya berjumpa pakar sakit mental.

“Saya menghidap penyakit Bipolar Disorder sejak 2009 dan ini telah membuka mata saya dan membuang tanggapan bahawa tekanan atau stress yang melampau tidak patut dipandang mudah kerana ianya akan membawa kepada penyakit mental,” tambah Isma.

“Masyarakat khususnya golongan belia perlu membantu golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental serta membuang stigma yang membolehkan individu yang mengalami masalah kesihatan mental dipinggirkan,” kata Isma yang banyak diberikan pendedahan mengenai penyakit tersebut setelah beberapa kali berjumpa dengan pakar psikiatri.

“Setiap hari yang dilalui menjadikan saya seorang yang aktif seperti bercakap tanpa henti, berfikir mengenai perkara di luar kotak tanpa saya sedar seperti bercakap mengenai agama, sentiasa bercakap dan melakukan perbuatan yang sama secara berulang-ulang, berasa bimbang tanpa sebab, menjadi pemarah dan sehingga pada satu tahap saya tidak mahu berjumpa dengan orang ramai dan berkurung diri di dalam rumah kerana terlalu tertekan dan hal ini juga berlaku tanpa saya sedar,” jelas Isma mengenai simptom yang dialaminya.

Selepas dua tahun mengalami Bipolar Disorder, Isma mengubah cara hidup dan belajar lebih memahami tentang penyakit yang dihidapinya dengan bantuan serta sokongan keluarga dan sahabat terdekat.

“True Stories Unveiled”, mengupas mengenai kesihatan mental dikendalikan oleh pelajar PPK USM bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia mengenai kesihatan mental.

Pakar Psikologi dari Teh Healinghart Centre, Dr. Doreen Teh turut berkongsi tip dan pengalamannya berhadapan dengan pesakit mental.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Siswazah, dan Jaringan) PPK USM, Dr. Bahiyah Omar yang merasmikan forum berkenaan dan lebih 350 orang peserta termasuk pelajar dan pensyarah USM serta tetamu luar.

Teks asal: Wakil penganjur program dari Pusat Pengajian Komunikasi USM/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 9858

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024