TASIK AMAN DAN HARAPAN JADI TAKUNGAN PENTING CEGAH BANJIR
PULAU PINANG, 15 November 2017 – Tasik Aman dan Tasik Harapan di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah dua buah tasik rangkaian daripada Sungai Gambir dan menjadi kawasan takungan air yang penting bagi mencegah dan mengelakkan banjir berlaku pada kawasan sekitarnya.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Sungai Gambir direka sejak penubuhan USM sekitar 50 tahun lalu untuk menjadi sebagai satu kawasan transit atau takungan sebelum aliran air itu terus ke lautan. Kewujudan dua buah tasik ini juga memberikan impak yang tinggi bagi mengatasi mitigasi banjir sama ada di dalam kampus mahu pun di kawasan sekitar termasuk Sungai Dua dan Batu Uban.
“Kedua-dua tasik ini dapat membantu serta menangani pelbagai isu semasa di kawasan sekitar USM jika ditambah baik dan punca air iaitu dari Sungai Gambir tersebut dialir keluar dari tasik ini dengan kualiti air yang lebih baik,” tambah Nor Azazi yang juga Pengarah Kampus Kejuruteraan USM.
Tasik-tasik ini menakungkan air dari Sungai Gambir di kawasan bersebelahan Jalan Yeap Chor Ee ke dalam kawasan USM sebelum ke perairan yang berdekatan.
Tambah Nor Azazi, kualiti dan warna air di tasik ini mampu ditambah baik ke peringkat Kelas Dua apabila ianya telah melalui beberapa proses penambahbaikan air di setiap saliran.
“Pihak kami berharap ada pihak yang dapat membantu menyalurkan sedikit dana dalam lingkungan RM6juta untuk menambah baik kualiti dan fasiliti penting ini untuk impak jangka pendek dan panjang khususnya kepada Pulau Pinang dan Malaysia, amnya bagi menjadi negara contoh dalam pengurusan air di peringkat dunia,” kata Nor Azazi yang juga pakar dalam Sustainable Urban Drainage Systems, Sediment Transport in River/Drain serta Environmental Management and Soil Treatment & Soil Reinforcement Techniques.
Oleh yang demikian, Tasik Aman dan Tasik Harapan adalah tinggi nilainya dalam membantu mitigasi banjir serta kepentingan dan penambahbaikan kedua-dua buah tasik ini harus diberikan penekanan yang sewajarnya.
Untuk rekod, keluasan Tasik Harapan adalah sekitar 0.8 hektar manakala Tasik Aman berkeluasan 0.6 hektar dan kedua-dua tasik ini adalah sangat berdekatan dengan Masjid USM dan kawasan pembangunan di Sungai Dua, Pulau Pinang.
Kedua-dua buah tasik ini adalah kawasan rekreasi penting kepada para pelajar dan warga USM untuk beriadah seperti berjoging dan bermain kayak sambil menikmati udara segar dari pepohonan. Semenjak USM ditubuhkan, tasik ini menjadi tempat untuk para pelajar mengisi masa lapang serta pada ketika ini beberapa alat senaman terbuka atau outdoor gym ditempatkan di tasik-tasik ini untuk kegunaan semua.
“Tanpa kedua-dua buah tasik ini, aliran air Sungai Gambir akan berlaku secara ‘rapid disposal’ atau secara cepat menuju ke laut dan mungkin menyebabkan banjir di kawasan sekitar pada musim hujan dan air pasang kerana tidak mempunyai kawasan tadahan yang mencukupi di bahagian yang lebih atas,” kata Nor Azazi yang bertanggungjawab membangunkan REDAC dari sebuah unit di USM kepada sebuah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi atau HiCOE yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 3554