USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEPELBAGAIAN AKTIVITI MAMPU MENJADI TARIKAN PENGUNJUNG MUZIUM

 DSC5696

PULAU PINANG, 21 April 2015 - Sebut sahaja nama muzium pasti terlintas di fikiran  bahawa ia sebuah lokasi yang menempatkan pelbagai artifak dan khazanah yang bersejarah. Jika diperhatikan aktiviti mengunjungi muzium begitu sinonim dengan aktiviti lawatan sambil belajar bagi murid sekolah rendah dan pelajar menengah. 

Menurut Timbalan Pengarah Cologne Museum, Koln Jerman, Karin Rottmann, kepelbagaian aktiviti yang unik di muzium dapat menjadikan muzium satu tarikan kepada pengunjung untuk datang melawatinya. Tidak hanya terhad kepada  lawatan sekolah tetapi juga generasi muda akan menjadikan muzium sebagai satu tempat untuk dikunjungi pada masa lapang.

 DSC5694

 DSC5695

"Muzium boleh menjadi program pendidikan kepada generasi muda untuk menarik minat mereka melalui pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di dalam muzium dan tidak menjadikannya sebagai satu tempat yang statik dan hanya dipenuhi dengan bahan-bahan bersejarah sahaja malah juga menjadi pusat pelancongan baharu," katanya.

Tambahnya lagi, jumlah pengunjung tempatan boleh ditingkatkan sekiranya pihak muzium mengambil pendekatan baru dan kontemporari misalnya setiap artifak diselitkan bahan teknologi terkini seperti tontonan video yang segar, pergerakan dan bunyi-bunyian.

 DSC5699

"Pendekatan inilah yang dilakukan oleh Cologne Museum, Koln, Jerman dengan para pengunjung bukan sahaja terdiri daripada pelancong asing, tetapi turut diriuhkan dengan kunjungan masyarakat tempatan bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat malah  mereka berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti membaca, menyertai kuiz, membeli artifak dan mendengar ceramah daripada tokoh-tokoh sejarah," katanya dalam satu sesi bengkel "Bringing Museums To Life" yang dianjurkan oleh Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM) dengan kerjasama Goethe-Institut Malaysia.

Dengan pengalamannya yang luas dalam bidang pendidikan muzium, Karin juga terlibat bersama Goethe-Institut Malaysia untuk merangka program latihan yang komprehensif dalam program pendidikan muzium di enam negara di Amerika Selatan.

 DSC5704

Sementara itu, Pengarah MGFT USM, Zolkurnian Hassan juga menyedari bahawa golongan muda kurang berminat menghabiskan masa di muzium.

"Cabaran dari pihak muzium pada masa kini adalah generasi muda lebih memilih untuk pergi dan bersiar-siar ke pusat membeli-belah berbanding melawat muzium melainkan dengan lawatan yang dianjurkan oleh sekolah," kata Zolkurnian.

Bengkel seumpama ini mampu memberi pendedahan kepada kurator-kurator muzium untuk mengembangkan idea dalam mempromosikannya kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing khususnya generasi muda.

"Di MGFT USM, kami telah melaksanakan pelbagai program pendidikan yang boleh menarik minat pelajar datang ke muzium seperti pensyarah dari Pusat Pengajian Seni USM akan mengadakan kelas di muzium yang secara tidak langsung mampu memberi pendedahan untuk mereka mengenali MGFT dan mempromosikan kepada pihak luar," kata Zolkurnian.

Bengkel sehari ini mengumpulkan kurator-kurator dan pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang muzium dan galeri. - Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Zamani Abdul Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 6079

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024