USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI HAMPAS KELAPA DIJADIKAN KEPINGAN DAGING BURGER

IMG 0338 800x600

USM, PULAU PINANG, 14 November 2017 – Kelapa parut yang sudah digunakan untuk menghasilkan santan selalunya akan dibuang begitu sahaja, namun, sekumpulan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) mengambil inisiatif menggunakan hampas kelapa ini untuk dijadikan kepingan daging burger berasaskan sayuran seratus  peratus.

Lau Yin Cheng, 23, yang mengetuai kumpulan pelajar tersebut menjelaskan, di pasaran kini terdapat kepingan daging burger yang tertumpu kepada pemprosesan ayam dan daging sebagai bahan utama, namun melalui inovasi yang dinamakan ‘Coconut Patty’ ini, sasaran pasaran produk ini ialah golongan ‘vegetarian’.

IMG 0395 800x600

Ciptaan ini merupakan projek tahun akhir mereka yang dipamerkan dalam Pameran Pembangunan Produk Makanan 2017 yang dikatakan mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat.

IMG 0381 800x600

“Produk yang kami hasilkan ini menggunakan 90 peratus hampas kelapa yang telah dicampur dengan beberapa jenis sayur-sayuran yang lain seperti ubi kentang, cendawan dan bawang untuk menghasilkan daging burger ini,” katanya.

Tambahnya, idea untuk menghasilkan inovasi yang dikatakan mampu dijadikan makanan berkhasiat di samping rasanya yang enak telah tercetus apabila rakannya melihat hampas kelapa ini mudah didapati dan ia mampu menjanakan pendapatan.

“Pada masa akan datang, mungkin kami akan mempelbagaikan lagi produk yang berasaskan hampas kelapa seperti penghasilan biskut dan berharap dengan adanya produk-produk seperti ini mampu membantu usahawan-usahawan di luar untuk meraih pendapatan,” katanya lagi.

IMG 0407 800x600

Sejumlah lapan kumpulan dari para pelajar pengkhususan Teknologi Makanan mengambil bahagian dalam pameran ‘Food Product Development’ yang dirasmikan oleh Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa di sini hari ini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 6157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024