USM PERKASA JALINAN KERJASAMA MALAYSIA-CHINA MELALUI PENYELIDIKAN BAHASA
USM, PULAU PINANG, 14 November 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) mengukuhkan kolaborasi dengan dua rakan pintarnya melalui penandatanganan memorandum persefahaman/perjanjian (MoU/MoA) di sini hari ini.
Kedua-duanya melibatkan kolaborasi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Kebudayaan Han Malaysia (PKHM), yang mana MoU dengan DBP dibuat dengan tujuan melaksanakan kerangka kerjasama pengantarabangsaan bahasa Melayu khususnya di negara China.
Manakala MoA dengan PKHM dimeterai bagi kerjasama dalam projek terjemahan dan penerbitan serta penyediaan latihan industri kepada pelajar Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi (BATI), PPIK, USM.
Majlis penandatanganan itu dibuat bersempena pameran projek terjemahan pelajar tahun akhir kursus Terjemahan dengan Interpretasi yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM.
Beliau dalam ucapannya berkata, kursus penterjemahan dan intrepretasi di USM bakal melahirkan lebih ramai tenaga penterjemah yang mampu mengisi keperluan tenaga profesional untuk negara.
Hal ini katanya sejajar dengan status PPIK yang merupakan satu-satunya pusat pengajian yang menawarkan program sarjana terjemahan di Malaysia.
Dalam majlis itu juga audiens dipersembahkan dengan pembentangan laporan pelajar tahun akhir yang membuat deskripsi terhadap hasil terjemahan yang dilakukan dalam terbitan buku.
Selain itu, turut dimuatkan dalam majlis adalah sambutan ulang tahun ke-25 BATI dengan menyaksikan simbolik pemotongan kek dan penyampaian hadiah khas kepada tenaga akademik yang telah banyak menyumbang kepada bahagian tersebut.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Dato’ Goh Hin San; Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abdul Adzis Abas; Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat dan Penyelaras BATI, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.
Teks: Nur Fatini Badrul Hisham (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1381