KONKRIT TANPA SIMEN CURI PERHATIAN IDRIS JUSOH
PULAU PINANG, 10 November 2017 – Inovasi penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), blok konkrit tanpa simen mesra alam (ECCB) berjaya mencuri tumpuan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dalam sesi pitching inovasi yang diadakan bersempena kunjungan beliau ke USM baru-baru ini.
Malah, keupayaan teknologi mesra alam itu dalam mengurangkan kos pembinaan rumah mendapat reaksi positif dari Idris yang berharap agar ECCB dapat digunakan dalam membantu pembinaan rumah-rumah mampu milik untuk dinikmati masyarakat di negara ini.
Ketua penyelidik yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) USM, Dr. Cheah Chee Ban berkata, dengan berkonsepkan kelestarian dan kitar semula, produk yang direka ini mampu menggantikan konkrit geopolimer yang digunakan dalam industri masa kini.
“ECCB ini dihasilkan menggunakan 100 peratus hasil bahan buangan industri yang diambil daripada kilang tenaga arang batu dan industri pembuatan besi,” katanya sambil memberitahu teknologi itu berupaya mempercepatkan masa pembinaan kepada hanya sehari untuk sebuah rumah disiapkan.
Sesi pitching bersama Idris diadakan bersempena kunjungan beliau ke sesi Dialog Universiti-Industri yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan pegawai-pegawai utama universiti awam dan rakan industri.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1305