OMBUDSMAN USM TERIMA ANUGERAH CANSELOR SANGGAR SANJUNG
PULAU PINANG, 3 November 2017 – Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar menerima anugerah tertinggi dan berprestij di Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS 2016) iaitu Anugerah Canselor yang dinobatkan kepada ilmuwan yang tinggi dalam kesarjanaan akademik.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Canselor USM di MASS 2016 anjuran USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM).
Md. Salleh yang juga Mantan Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan juga TNC Hal Ehwal Pelajar adalah seorang tokoh Kesusasteraan Bandingan yang ulung di Malaysia dan terkenal di Nusantara.
MASS adalah acara tahunan USM bagi menobatkan ahli akademia dan pentadbir yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, penerbitan jurnal dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Tema MASS bagi tahun ini adalah “Melonjak USM dengan Rekayasa Tersendiri”, merupakan satu rekayasa pola organisasi dari dasar gabungan sembilan Teras APEX USM iaitu “Keilmuan, Masa Hadapan, Kelainan, Kelestarian, Kesejagatan, Kemanusiaan, Pengorbanan, Perubahan dan Kesejagatan.”
Pada kali ini juga, buat julung kalinya Augerah Keusahawanan Universiti diperkenalkan bagi mengiktiraf komitmen dan sanjungan kepakaran staf akademik dan profesional dalam pembangunan keusahawanan universiti.
Anugerah lain yang disampaikan adalah Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Kepimpinan Masyarakat dan Anugerah Sanggar Sanjung bagi kategori Penerbitan Jurnal, Geran Penyelidikan Antarabangsa, Paten, Kualiti dan Ketokohan.
Hadir dan menyampaikan anugerah juga adalah Pro-Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1473