ROADSHOW INTEGRITI 2017 JAYAKAN AGENDA PEMBUDAYAAN INTEGRITI DALAM PENJAWAT AWAM
USM, PULAU PINANG, 20 Oktober 2017 – Penjawat Awam diseru menjayakan agenda pembudayaan, penghayatan dan pengukuhan integriti selari dengan objektif Pelan Integriti Nasional melalui Roadshow INTEGRITI 2017 yang diadakan baru-baru ini di Universiti Sains Malaysia (USM).
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, program ini adalah satu usaha penting untuk sama-sama berjuang menangani cabaran dan isu berkaitan permasalahan integriti di dalam negeri dan negara.
“Secara bersama kita seharusnya membina strategi yang lebih mantap ke arah pencapaian matlamat integriti demi masyarakat masa hadapan yang lebih jitu dari segi sahsiah serta pembawaan diri di dalam institusi keluarga sehinggalah ke institusi masyarakat,” tambahnya.
Jelasnya, di USM, Unit Integriti Universiti berperanan menasihatkan warganya yang berjumlah lebih 10,000 staf dan 32,000 mahasiswa bagi menitikberatkan nilai integriti dan etika tinggi dalam jiwa individu masing-masing, di mana sahaja mereka berada.
“USM sentiasa bersama untuk memberikan komitmen bagi memastikan agenda INTEGRITI negara mencapai matlamatnya sekaligus melahirkan rakyat Malaysia yang membanggakan,” katanya lagi.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, dalam usaha membudayakan agenda integriti, INTEGRITI menggunakan Roadshow INTEGRITI untuk berkongsi program-program atau kaedah baharu selain memperkenalkan produk dan instrumen yang dibangunkan oleh INTEGRITI.
“Menerusi program ini, segala maklumat berkaitan isu integriti di peringkat negeri akan dimuat naik dalam sistem yang dinamakan sebagai ‘Dashboard INTEGRITI’, yang merupakan satu paparan dalam bentuk pembangunan analisis yang informatif dan interaktif,” jelasnya.
Terdahulu, INTEGRITI dan USM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama penyelidikan dalam mewujudkan organisasi berintegriti yang bebas dari segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan yang boleh menjejaskan imej kerajaan.
Selain itu, MoU itu juga membolehkan pelbagai aktiviti dirangka dan dilaksanakan bersama antara USM dan INTEGRITI termasuk aktiviti melibatkan pelajar di Universiti melalui Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa USM yang kini mempunyai lebih 200 orang ahli.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus.
Pulau Pinang diberi penghormatan sebagai negeri ketiga untuk menganjurkan Roadshow INTEGRITI selepas Sarawak dan Selangor.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan USM telah dihadiri oleh lebih 200 peserta yang terdiri daripada tetamu kenamaan dari SUK Pulau Pinang, INTEGRITI, warga USM, agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta NGO di Pulau Pinang.
Teks: Syuhada Abd. Aziz & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1328